Friday, December 27, 2013

Pembangkang gempur stadium



PENUNJUK perasaan berkumpul di luar rumah Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dalam satu tunjuk perasaan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba menghalang persediaan pilihan raya, bertempur dengan polis di ibu kota Thailand di sini semalam.
Pihak berkuasa berkata, seorang anggota polis terbunuh manakala tiga lagi cedera terkena tembakan.
Sekurang-kurangnya 95 orang termasuk 25 anggota polis dimasukkan ke hospital akibat cedera dalam kekacauan itu yang bermula apabila penunjuk perasaan bertindak membaling batu ke arah anggota pasukan keselamatan.
Kumpulan penunjuk perasaan itu juga cuba menggunakan kekerasan untuk memasuki sebuah stadium di sini.
Polis kemudian bertindak balas dengan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.
Stadium berkenaan menjadi tempat 27 perwakilan mencabut undi untuk menentukan kedudukan parti politik mereka pada kertas undi pilihan raya 2 Februari depan.
Penunjuk perasaan gagal menghalang proses tersebut.
Namun, empat pegawai suruhanjaya pilihan raya (SPR) Thailand terpaksa dipindahkan dengan sebuah helikopter berikutan pertempuran yang berlaku di luar stadium tersebut.
Mengulas situasi tersebut, seorang pegawai polis, Kolonel Anucha Romyanan menggesa penunjuk perasaan supaya berhimpun secara aman.
"Terdapat cubaan untuk memburukkan lagi krisis politik di negara ini dengan melakukan kekacauan," katanya.
Rusuhan tersebut terhad di kawasan sekitar stadium berkenaan dan berlanjutan hingga ke awal pagi.
Penunjuk perasaan menuntut supaya Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan sejak pertengahan Oktober lalu dengan kekacauan beberapa kali tercetus.
Mereka menentang pilihan raya umum pada 2 Februari depan kerana Yingluck diyakini akan memenanginya.
Penunjuk perasaan antikerajaan itu menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang menetap di luar negara untuk mengelak daripada dipenjara selepas didapati bersalah dalan satu kes rasuah.
Thaksin masih memiliki pengaruh yang besar di Thailand dengan parti pimpinannya memenangi setiap pilihan raya yang diadakan di negara itu.
Dalam pada itu, SPR Thailand menggesa kerajaan supaya menangguhkan pilihan raya pada Februari depan selepas berpuluh-puluh orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis.
"Kita tidak boleh menganjurkan pilihan raya yang bebas dan adil seperti yang termaktub dalam perlembagaan berdasarkan situasi masa kini," kata seorang pegawai suruhan berkenaan, Prawit Rattanapien.
Setakat ini, pihak kerajaan masih belum menyatakan pendiriannya berhubung gesaan tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ocQLUJnc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment