Monday, December 30, 2013

Tawan Bangkok


Bangkok: Penunjuk perasaan anti kerajaan merancang ‘menawan Bangkok’ selepas cuti Tahun Baru ini.

Pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berikrar demikian lewat kelmarin ketika bercakap kepada penunjuk perasaan di Dataran Demokrasi.


Katanya, selepas bercuti Tahun Baru penunjuk perasaan perlu datang semula untuk menawan Bangkok bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat.



“Saya minta saudara kita di seluruh Thailand supaya bersedia dan membantu kita menawan Bangkok,” katanya.


“Nantikan isyarat daripada kami. Bawa pakaian dan makanan bersama anda kerana kita akan berjuang selama beberapa bulan sehingga kita berjaya.


“Bagi saudara kita di Bangkok, kita tidak akan berganjak walaupun seinci daripada bandar raya ini. Kita tidak akan benarkan orang Thaksin (bekas perdana menteri) kekal dan mengambil kesempatan terhadap rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika ada penduduk Bangkok yang bimbang mengenai keadaan yang berlaku, mereka perlu kekal untuk sementara waktu di wilayah lain.


Sementara itu, pemimpin baju merah, kumpulan yang menyokong kerajaan berkata, mereka perlu bersedia untuk bangkit dan menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa.

Gesaan itu dibuat selepas panglima tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha tidak menolak kemungkinan pihaknya akan merampas kuasa.


Nattawut Saikua, Timbalan Menteri Perdagangan dalam kerajaan sementara yang juga pemimpin Barisan Bersatu Bagi Demokrasi menentang Kuku Besi (UDD) berkata semalam, kenyataan Prayuth Jumaat lalu mencetuskan kebimbangan di seluruh negara itu.


Seorang lagi pemimpin UDD, Jatuporn Prompan berkata, jika rampasan kuasa berlaku, tentera akan dilihat sebagai menyokong Suthep. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment