Friday, January 24, 2014

25 kata laluan Internet paling teruk


California: Jika kata laluan Internet anda semudah satu, dua, tiga awas kerana kemungkinan besar orang lain juga akan dapat menjangkanya.

Pembuat aplikasi kata laluan Splashdata yang mendedahkan 25 kata laluan paling teruk 2013 mendedahkan ‘123456’ paling mudah diagak pihak tidak bertanggungjawab.


Syarikat itu menghasilkan senarai berkenaan berdasarkan fail mengandungi jutaan kata laluan yang dicuri tahun lalu dalam usaha menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan menggunakan Internet.



Kata laluan ‘123456’ itu menggantikan perkataan ‘password’ sebagai kata laluan paling teruk, selain mengalahkan beberapa yang lain seperti ‘querty’ dan ‘abc123’.


Selain itu, senarai berkenaan mendedahkan pengguna Internet gemar menggunakan ‘iloveyou’ di tempat kesembilan diikuti ‘monkey’, ‘sunshine’ dan ‘princess.’ Kata laluan ‘adobe123’ juga termasuk dalam senarai itu berikutan serangan siber terhadap syarikat berkenaan Oktober lalu - bukti kata laluan dipilih tidak wajar menggunakan sesuatu yang merujuk kepada laman web yang diserang.


Ketua Pegawai Eksekutif Splashdata Morgan Slain berkata, kajian itu menunjukkan lebih ramai memilih kata laluan menggunakan hanya nombor yang singkat walaupun banyak laman web kini memerlukan penggunaan kata laluan lebih kukuh. “Seperti biasa, kami berharap publisiti terhadap isu ini dan risikonya terhadap pengguna akan membuatkan orang ramai mengambil langkah melindungi kepentingan mereka dengan menggunakan kata laluan lebih kukuh dan berbeza-beza bagi setiap laman web digunakan,” katanya.

Dia menasihatkan sesiapa yang menggunakan mana-mana kata laluan disenaraikan supaya segera menukarkannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment