Sunday, February 23, 2014

Berpisah tak bertemu


Kepiluan jelas terbayang di wajah setiap mereka semalam apabila tempoh pertemuan penuh bermakna itu berakhir. 
Setiap seorang daripada individu yang terpisah oleh sempadan politik itu mengalirkan air mata ketika berpisah kerana menyedari mereka mungkin tidak akan bertemu lagi selepas ini. 

Dalam detik-detik penuh emosi itu 80 warga tua dari Korea Selatan dan 174 ahli keluarga mereka dari Korea Utara kelihatan seolah-olah enggan melepaskan orang tersayang mereka beredar pergi.
Foto
WARGA emas Korea Utara melekapkan tangan di cermin bas yang dinaiki ahli keluarga dari Korea Selatan di pusat peranginan Gunung Kumgang, Korea Utara semalam.

Mereka ialah kumpulan pertama yang dibenarkan bertemu selepas 60 tahun terpisah akibat Perang Korea antara 1950 hingga 1953.

Semua peserta diberikan sejam untuk mengucapkan selamat tinggal di ruang makan sebuah hotel di pusat peranginan kawasan pergunungan di Korea Utara. 

Pada permulaan acara itu, kebanyakan mereka sudah pun bergenang air mata, manakala sesetengahnya menggagahkan diri untuk tersenyum bagi menyembunyikan perasaan di hati. 

Beberapa peserta mengambil gambar kenangan, saling bertukar foto lama dan mencatat alamat saudara-mara walaupun hubungan surat-menyurat, telefon atau e-mel dilarang sama sekali antara kedua-dua negara itu. 

Rakyat Korea Selatan, Lee Myeong-Ho, 82, dilihat menggenggam erat tangan adik lelakinya, Lee Chol-Ho, 77, dari Korea Utara. 

“Saya cuba untuk tidak menangis. Terima kasih kerana membolehkan saya melihat kamu masih hidup dan sihat. Jaga diri dan semoga sihat selalu,” katanya. 

Park Yang-Gon, 53, pula berlutut di lantai hotel dan menunduk di depan abangnya Yang-Soo, nelayan Korea Selatan yang diculik dan dibawa ke Korea Utara ketika menangkap ikan di perairan berhampiran barat daya negara itu pada 1972. 

“Semoga kita dapat bertemu lagi jika diberi kesihatan yang baik,” katanya.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/23

No comments:

Post a Comment