Friday, February 7, 2014

Syariah dalam kalangan bukan Islam di Aceh


Dua orang polis syariah wanita (berdiri kiri), menasihati dua gadis yang memakai seluar ketat di Aceh, baru-baru ini. - AGENSI
JAKARTA 6 Feb. - Majlis Perundangan Aceh sedang menimbangan untuk memperkenalkan peraturan khas bagi membolehkan masyarakat bukan Islam di wilayah itu mematuhi undang-undang syariah.
Dikenali sebagai Qanun Jinayat, peruntukan di bawah undang-undang tersebut bakal menyaksikan seluruh penduduk di wilayah Aceh perlu mengenakan pakaian dan mematuhi etika kehidupan berlandaskan prinsip Islam.
Dalam usaha memperkenalkan undang-undang tersebut kepada golongan bukan Islam, Ketua Jabatan Penguatkuasaan Syariah Wilayah Aceh, Samsuddin berkata, pada masa ini, pihaknya meningkatkan rondaan di jalan-jalan bagi memantau kesalahan dilakukan penduduk termasuk bukan Islam.
Di Banda Aceh semalam, dua wanita bukan Islam yang menunggang motosikal, ditahan polis syariah dalam satu sekatan jalan raya kerana tidak mengenakan tudung.
Bagaimanapun, memandangkan kedua-dua wanita itu bukan Islam, mereka tidak dikenakan sebarang hukuman tetapi diberi amaran supaya mula menutup kepala setiap kali muncul di khalayak ramai.
"Kami mengharapkan semua wanita termasuk yang bukan Islam akan mengenakan tudung," kata Samsuddin seperti dilaporkan akhbar tempatan, hari ini.
Menurut Samsuddin, masyarakat Islam dan bukan Islam di wilayah Aceh, satu-satunya wilayah di Indonesia yang diberi hak autonomi untuk melaksanakan perundangan syariah, seharusnya mematuhi undang-undang Islam.
Selain menahan wanita yang tidak menutup aurat, polis syariah turut menahan lelaki Islam dan bukan Islam yang memakai seluar pendek ketika menunggang motosikal dengan memberi amaran bahawa mereka perlu mengenakan seluar panjang atau seluar di bawah paras lutut apabila berada di kawasan umum.
Berdasarkan Kanun Syariah No. 11 Tahun 2002, setiap anggota masyarakat wajib mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan syariat Islam iaitu wanita harus mengenakan tudung, sementara kaum lelaki dilarang memakai seluar pendek.
"Seandainya seseorang itu didapati bersalah melanggar undang-undang syariah sebanyak tiga kali, mereka boleh dikenakan hukuman lebih berat seperti dikenakan hukuman sebatan di hadapan orang ramai," kata Samsuddin.
Aceh yang terletak di hujung utara pulau Sumatera merupakan wilayah paling barat di Indonesia dengan jumlah penduduk seramai 4.5 juta orang. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140207/lu_06/Syariah-dalam-kalangan-bukan-Islam-di-Aceh#ixzz2saBY1Vdg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment