Tuesday, February 25, 2014

Yingluck masih enggan letak jawatan


SEKUMPULAN penunjuk perasaan mengepung stesen televisyen kabel Voice TV milik keluarga Shinawatra di Bangkok semalam.- AP


BANGKOK - Perdana Menteri sementara Thailand, Yingluck Shinawatra semalam enggan meletak jawatan walaupun kerajaannya tertekan dengan beberapa serangan yang mengorbankan berpuluh-puluh penunjuk perasaan.
Yingluck yang menghadiri satu promosi perdagangan di Saraburi kira-kira 150 kilometer dari Bangkok juga menggesa satu dialog diadakan bagi menyelesaikan krisis di negara ini yang berlanjutan selama beberapa bulan.
"Sampai masa semua pihak duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan krisis ini.
"Ramai pihak mahu saya meletak jawatan tetapi adakah tindakan itu akan menyelesaikan masalah itu (krisis politik)? Bagaimanakah jika ia menyebabkan satu kelompongan kuasa erlaku?,'' kata Yingluck.
Krisis di Thailand kini meragut hampir 20 nyawa dan semakin meruncing selepas para penunjuk perasaan antikerajaan berikrar untuk menumbangkan kerajaan Yingluck kerana beliau didakwa menjadi boneka kepada abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Bagaimanapun, tentera masih enggan campur tangan dalam krisis politik Thailand.
Kestabilan politik Thailand juga dilihat berada dalam keadaan tidak menentu ketika Yingluck memerintah kerajaan buat sementara waktu selepas pilihan raya umum diadakan pada 2 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya turut menangguhkan proses pengundian di beberapa kawasan parlimen sehingga April ini.
Pilihan raya itu diadakan bagi memilih kerajaan baharu yang bertujuan menyelesaikan krisis berkenaan.
Namun, krisis tersebut masih belum dapat diselesaikan selepas kumpulan penunjuk perasaan mengganggu pusat pembuangan undi di beberapa kawasan parlimen. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2uHnhTKnX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment