Saturday, March 1, 2014

Bekas Presiden Ukraine muncul


Beberapa lelaki bersenjata berkawal di sekitar lapangan terbang di Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS
SIMFEROPOL, Ukraine 28 Feb. - Bekas Presiden Ukraine yang digulingkan, Viktor Yanukovych akhirnya muncul hari ini dalam satu sidang akhbar di Moscow, menyatakan bahawa beliau akan terus ‘berjuang untuk negaranya’.
Selepas meninggalkan Ukraine pada hujung minggu lalu dan lima hari menghilangkan diri, Yanukovych menegaskan beliau bukan disingkirkan tetapi terpaksa meninggalkan Kiev selepas merasakan nyawanya terancam.
"Situasi di Ukraine kini huru-hara dan tidak terkawal. Saya meminta maaf kepada semua rakyat Ukraine kerana tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan," katanya ketika ditanya adakah beliau tidak malu dengan apa yang berlaku di negaranya.
Yanukovych yang digulingkan seminggu selepas keganasan politik yang meragut hampir 100 nyawa dan kini hidup sebagai pelarian, menganggap dirinya masih memegang jawatan Presiden Ukraine.
Beliau dikehendaki atas dakwaan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan apabila mengarahkan pihak keselamatan menggempur lokasi bantahan antikerajaan kira-kira seminggu lalu.
Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Ukraine hari ini menyatakan bakal meminta Moscow mengekstradisi pemimpin tersebut selepas beliau disahkan berada di Rusia.
Ukraine hari ini turut memberi amaran kepada Rusia berhubung tindakan Moscow mencampuri konflik terbaharu di wilayah autonomi Crimea.
Kerajaan Barat menyuarakan kebimbangan tentang situasi berbahaya di Crimea selepas sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia merampas bangunan kerajaan Crimea dan menggesa Rusia agar tidak memburukkan lagi keadaan.
Semalam, Presiden Rusia, Vladimir Putin mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menyelesaikan konflik di Ukraine yang berlanjutan sejak tiga bulan lalu.
Namun Presiden sementara Ukraine, Oleksandr Turchynov membalas kenyataan Putin dengan berkata, sebarang tindakan tentera Rusia yang beroperasi di Laut Hitam di Crimea akan dianggap sebagai tindakan ketenteraan.
Sekumpulan lelaki bersenjata berpakaian tentera turut merampas sebuah lapangan terbang di Crimea, awal hari ini.
Saksi yang memberitahu agensi berita Interfax berkata, kira-kira 50 lelaki bersenjata itu memakai pakaian yang sama seperti kumpulan yang merampas bangunan kerajaan dan Parlimen Crimea kelmarin. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140301/lu_01/Bekas-Presiden-Ukraine-muncul#ixzz2uefu5FLG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment