Wednesday, March 5, 2014

Keputusan permohonan gereja ditangguh

Keputusan permohonan gereja ditangguh
Kira-kira 100 orang umat Islam menunaikan solat hajat di hadapan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di sini. - Foto Bernama
5 Mac 2014   PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguannya, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah.
 
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
 
Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri.
 
Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor.
 
Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
 
Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya. - Bernama

No comments:

Post a Comment