Tuesday, March 18, 2014

MH370: Rakyat keliru - Mahfuz

KAJANG: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menasihati agar pengundi Kajang memahami kemampuan pentadbiran Barisan Nasional (BN) berhubung isu kehilangan pesawat MAS MH370 sebelum memilih mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang nanti.

Beliau yang berucap di Stadium Kajang memberitahu insiden MH370 itu membuktikan kelemahan BN yang paling ketara dalam menyelesaikan isu membabit keselamatan negara dan juga kekeliruan kehilangan.

"Saya nak nasihat kepada pengundi di Kajang, tahu tak apa yang berlaku terhadap MH370, semua kelirukan.

"Tak tahu apa masalah sebenar, itu adalah berpunca dari kelemahan BN sendiri dalam menyelesaikan konflik dan kekeliruan apa yang berlaku terhadap MH370.

"Atas sebab itu, saya nasihat kepada semua pengundi, kalau soal keselamatan negara BN gagal tangani dengan baik, bagaimana mereka nak jaga rakyat Kajang dan jangan sampai kita pula di culik," ucap beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil memberi penjelasan dan bukannya menambahkan kekeliruan terhadap insiden kehilangan pesawat.

"Saya syak MH370 telah dirampas, sekarang Menteri Luar Negara tidak pernah hadir di parlimen dan mungkin sedang adakan rundingan.

"Kalau silap sangkaan saya ini, kerajaan perlu tampil membuat penafian dan kita tidak mahu rakyat terus keliru apatah lagi keluarga mangsa yang sehingga sekarang tidak tahu apa yang berlaku.

"Malah sejak Najib hadir pada sidang media berhubung insiden tersebut semakin bertambah kekeliruan dan pelbagai spekulasi yang timbul.

"Kita ingat bila Najib hadir memberi penerangan ia akan menyuraikan persoalan tapi tidak, malah menjadi semakin kusut," ucap beliau.

Jelasnya lagi, keengganan Najib membenarkan wartawan untuk bertanya soalan dan hanya membaca teks merupakan satu tindakan yang tidak profesional, malah turut memalukan negara ini.

"Kalau betul pesawat di rampas dan ada rundingan mahupun tebusan, kami Ahl Parlimen Pakatan Rakyat sedia menjadi pertukaran dengan penumpang-penumpang.

"Apa yang penting adalah mereka semua selamat dan dapat kembali kepangkuan keluarga, kami bersedia memikul tanggungjawab demi keselamatan penumpang," sambung beliau.

Mahfuz yang turut memberitahu insiden kehilangan pesawat ini bukan hanya membuktikan kelemahan negara, malah turut menghilangkan keyakinan negara-negara luar terhadap Malaysia.

No comments:

Post a Comment