Sunday, March 23, 2014

Russia mahu serang Ukraine?


Ketua Keselamatan dan Pertahanan Kebangsaan Ukraine semalam mendakwa tentera Russia akan melancarkan serangan terhadap negara itu bila-bila masa.

“Matlamat Putin (Vladimir, Presiden Russia) ialah menguasai seluruh Ukraine, bukan setakat Crimea.



Tenteranya sudah berhimpun di kawasan sempadan, bersedia untuk melancarkan serangan bila-bila masa.

“Mereka akan menyeberang sempadan.

Pada tanggapan Putin, Ukraine perlu menjadi sebahagian Russia,” kata Andriy Parubiy.

Di Brussels, panglima tertinggi tentera NATO berkata, Russia sudah mengumpulkan sejumlah besar tentera di sempadan timur Ukraine.

Jeneral Philip Breedlove dari Amerika Syarikat berkata, langkah itu mencetuskan ancaman terhadap Transdniestria, wilayah Moldova yang berjuang menuntut pemisahan.

Beliau memberi amaran itu sehari selepas tentera Russia, lengkap dengan kereta kebal, senjata automatik dan bom asap menawan kemudahan tentera terakhir Ukraine di Crimea, yang digabungkan menjadi sebahagian Russia Jumaat lalu.

“Jumlah tentera Russia di sempadan timur Ukraine amat besar dan seolah-olah sudah bersedia,” kata Breedlove dalam satu majlis di Brussel pada satu majlis di Brussels.

Penguasaan Russia terhadap Crimea yang mempunyai populasi Russia selepas penyingkiran Presiden Ukraine yang pronegara itu mencetuskan krisis paling buruk antara Timur dan Barat sejak Perang Dingin.

Amerika Syarikat yang sudahpun mengenakan sekatan dengan menyasarkan sekutu politik dan perniagaan Putin mengancam meluaskan sekatan itu jika tentera Russia menceroboh bahagian timur dan selatan Ukraine yang juga mempunyai ramai penduduk berbangsa Russia.

Breedlove berkata, NATO amat bimbang mengenai ancaman terhadap Transdniestria, wilayah yang mengisytiharkan kemedekaan dari Moldova pada 1990 tetapi tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

No comments:

Post a Comment