Friday, March 21, 2014

Ukraine undur tentera di Crimea


Tentera Rusia dan Ukraine mengadakan rundingan di pintu pagar unit ketenteraan Ukraine di Perevalnoye, pinggir Simferopol, semalam. - AFP
SEVASTOPOL, Crimea 20 Mac - Ukraine semalam mengumumkan rancangan mengundurkan tenteranya dari Crimea selepas pasukan bersenjata pro-Rusia merampas kawalan ke atas ibu pejabat tentera laut Ukraine di sini dan menahan komandernya.
Beberapa jam selepas pasukan bersenjata bertopeng dan berkomunikasi dalam bahasa Rusia menyerbu pangkalan tentera laut Ukraine di sini, askar-askar dilihat membawa pakaian dan barangan milik mereka keluar dari kompleks tersebut.
Sekumpulan orang dipercayai anggota kumpulan militia tempatan dan Cossack serta pegawai dari Armada Laut Hitam Rusia dipercayai menyaksikan tindakan askar Ukraine tersebut.
Jumlah askar Ukraine yang berundur dan menyerah diri kepada Crimea masih belum jelas kerana kebanyakan mereka telah berpaling tadah kepada Rusia.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Crimea berkata, mereka melakukan persediaan untuk memindahkan kira-kira 25,000 askar dan keluarga mereka ke Ukraine.
Komander tentera laut Ukraine, Laksamana Serhiy Haiduk dan beberapa tebusan lain ditahan oleh pihak berkuasa Crimea telah dibebaskan, kata laman web Pejabat Presiden Ukraine, hari ini.
Ukraine mengisytiharkan keluar daripada Komanwel Negara-negara Bebas yang didominasi Moscow.
Negara terakhir yang keluar daripada perikatan itu adalah Georgia selepas berperang dengan Rusia pada 2008 dan kehilangan dua wilayahnya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140321/lu_01/Ukraine-undur-tentera-di-Crimea#ixzz2wZIn3vYd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment