Wednesday, April 2, 2014

Rusia mula undurkan tentera di sempadan Ukraine


KIEV 1 April - Tentera Rusia yang ditempatkan di sempadan timur Ukraine, dilapor mula berundur secara berperingkat sejak beberapa hari lalu, sekali gus menunjukkan tanda-tanda konflik terburuk sejak pasca Perang Dingin antara Barat dan Timur itu mulai reda.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya menjelaskan, satu batalion telah diarahkan berundur dari kawasan Rostov-on-Don, lokasi latihan ketenteraan yang dijalankan oleh Rusia sejak Februari lalu.
Jurucakapnya, Oleksiy Dmytrashkivskiy berkata, jumlah askar yang diarah pulang tidak dapat dipastikan, begitu juga dengan jumlah tentera yang masih ditempatkan di sempadan Ukraine.
Bagaimanapun kebiasaannya, satu batalion tentera mempunyai kira-kira 500 anggota.
"Pengunduran tersebut mungkin merupakan pertukaran biasa dalam kalangan anggota tentera.
"Namun tindakan itu juga ada kaitan dengan rundingan antara Rusia-Amerika Syarikat (AS)," katanya ketika dihubungi AFP, semalam.
AS dan Eropah sebelum ini menggesa Moscow mengundurkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 tenteranya yang ditempatkan di sempadan Ukraine, sebagai langkah pertama meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Penganalisis Pusat Kajian Ketenteraan dan Politik di Kiev, Dmytro Tymchuk berkata, hanya 10,000 tentera Rusia yang ditempatkan di sempadan Ukraine pada pagi hari ini.
Kerajaan sementara Ukraine dalam pada itu berkata, mereka tidak menerima sebarang maklumat tentang pengunduran tersebut daripada Moscow dan tidak pasti tujuan tentera Rusia dialihkan.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier mengalu-alukan tindakan Moscow itu, sebagai ‘petanda kecil’ bahawa konflik antara Rusia-Ukraine dapat diselesaikan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin turut menghubungi Canselor Jerman, Angela Merkel untuk memaklumkan situasi tersebut, namun tidak mengulas lanjut tentang jumlah askar yang diundurkan dan maklumat lain. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140402/lu_06/Rusia-mula-undurkan-tentera-di-sempadan-Ukraine#ixzz2xgAq7n8B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment