Monday, April 14, 2014

Ukranie lancar operasi 'anti-pengganas'


Kumpulan bersenjata pro-Rusia berkawal berhampiran ibu pejabat polis di bandar Slaviansk, kelmarin. - REUTERS
SLAVIANSK, Ukraine 13 April - Pa­sukan keselamatan Ukranie, hari ini melancarkan operasi ‘anti-pengganas’ bagi menamatkan ancaman aktivis pemisah di bahagian timur negara ini,
“Operasi anti-pengganas akan bermula di Slaviansk. Ia bakal dipantau oleh pusat anti-pengganas perkhidmatan keselamatan negara, dengan semua unit pasukan keselamatan dikerah bagi menyertai operasi ini," kata Menteri Dalam Negeri Ukranie, Arsen Avakov yang dipetik oleh agensi berita Interfax dari laman sosial Facebooknya.
Semalam, aktivis pro-Rusia bersenjata automatik menawan bangunan kerajaan di bandar Slaviansk, kira-kira 150 kilometer dari sempadan Rusia, selain membina penghadang di kawasan pinggir bandar berkenaan.
Ketika kejadian, kira-kira 12 orang wanita berada di bangunan tersebut, namun kesemua mereka kemudian dibebaskan sejurus selepas aktivis pemisah mengetahui kenyataan Avakov itu.
Sekumpulan 100 orang penduduk awam yang terdiri daripada wanita berusia, berada di hadapan bangunan yang ditawan, sambil melaungkan mesej ‘perpaduan’ kepada pemisah yang berada di dalam bangunan tersebut.
Ini termasuklah perkataan ‘pungutan suara’ yang merujuk kepada permintaan supaya pilihan raya tempatan diadakan untuk menentukan status rantau ini.
Dalam satu lagi kenyataan, Avakov turut menggesa penduduk di bahagian timur Slaviansk supaya berada di dalam rumah, bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Penduduk awam dilarang berada di tengah bandar ini. Jangan keluar dari rumah dan jangan berdiri hampir dengan tingkap," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_04/Ukranie-lancar-operasi-anti-pengganas#ixzz2yo5mVEXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment