Saturday, May 10, 2014

Berlusconi mula khidmat masyarakat


2014/05/10 - 03:47:11
Berlusconi mula khidmat masyarakat
Silvio Berlusconi

Bekas PM Itali diarah jadi sukarelawan

CESANO BOSCONE: Bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi memulakan tugas khidmat masyarakatnya semalam atas kesalahan penipuan cukai dalam apa yang disifatkan akan dapat menyaksikan beliau mendapat keuntungan politik daripada hukuman simbolik berkenaan.


Jutawan terbabit yang disabitkan bersalah tahun lalu dan dipecat daripada parlimen diarahkan untuk bekerja sekali seminggu selama setahun sebagai sukarelawan di sebuah hospital untuk pesakit Alzheimer di Milan.

“Ke penjara!” kata seorang penunjuk perasaan yang mengenakan topi badut, sebaik Berlusconi yang mengenakan suit biru dengan lencana bendera Itali, tiba di klinik menaiki sebuah kereta lengkap dengan pemandu.

“Kami pekerja Itali mempunyai satu impian besar dalam hati: Berlusconi ke San Vittore!” jertinya, merujuk kepada sebuah penjara di Milan sebelum lelaki terbabit dibawa oleh polis.

Hospital yang dikendalikan Gereja Katholik di Cesano Boscone itu berkata mereka tidak akan benarkan Berlusconi menggunakan tempat mereka sebagai pentas politik berhadapan dengan media dunia dan akan melayannya seperti sukarelawan lain.

Ahli politik berkenaan menguasai politik Itali selama dua dekad dan mengetuai satu kempen bagi pilihan raya Parlimen Eropah walaupun dilarang daripada bertanding dan partinya dijangka mendapat 20 peratus undi.
Ketua perkhidmatan penjagaan hospital Massimo Restelli memberitahu harian La Repubblica bahawa pengenalan Berlusconi adalah secara beransur-ansur supaya beliau dan pesakit tua lain boleh saling membiasakan diri.

“Ia akan jadi langkah kecil supaya tidak membuat sebarang kesilapan. Kemudian beliau akan buat pelbagai perkara. Beliau akan membantu hidangan yang sedikit sukar kerana kadang kala anda perlu ‘mengingatkan’ pesakit bahawa mereka sedang makan,” katanya.

“Kami bertanyakan setiap orang termasuk Berlusconi untuk memantau, memahami dan tidak menunjukkan kebimbangan,” katanya sambil menambah bahawa tarikan media akan sentiasa mengiringi seorang pekerja perubatan khusus dalam Alzheimer.

“Kita akan lihat jika kehadiran Berlusconi akan mencetuskan hubungan rapat, jika beliau menjadi rujukan. Tetamu akan mengingati perkara walaupun seolah-olah tidak masuk akal bagi mereka yang tidak tahu penyakit berkenaan,” katanya. – AFP

No comments:

Post a Comment