Tuesday, May 27, 2014

'Raja Coklat' Presiden baharu Ukraine


KIEV 26 Mei - Bilionair Ukraine, Petro Poroshenko meraih kemenangan dalam pilihan raya Presiden yang berlangsung semalam selepas memperoleh undi majoriti pada pusingan pertama, sekali gus melaungkan ikrar untuk menamatkan konflik pemisah pro-Rusia di timur negara ini.
Keputusan awal pilihan raya menunjukkan, Poroshenko mendapat lebih 55 peratus undian, jauh meninggalkan pencabarnya, bekas Perdana Menteri Yulia Tymoshenko yang mendapat tempat kedua dengan undian sebanyak lebih 12 peratus.
Jika Poroshenko meraih kemenangan majoriti, tiada pusingan penentuan perlu dijalankan pada 15 Jun ini.
Poroshenko yang mendapat jolokan nama 'Raja Coklat' pada sidang akhbar berkata, perkara pertama yang akan dibuat adalah melawat timur Ukraine bagi mengakhiri 'perang dan kekacauan' yang dicetuskan oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.
Beliau turut menyatakan kesediaan berunding dengan kumpulan penentang dan menawarkan pengampunan bagi mereka yang meletakkan senjata, namun menolak rundingan dengan golongan pembunuh dan pengganas.
Selain itu, Poroshenko menegaskan pendiriannya yang tidak mengiktiraf 'penaklukan Crimea' oleh Rusia, tetapi beliau akan cuba mencari jalan lain bagi menjalinkan hubungan dengan negara jirannya itu.
"Saya juga akan bertemu dengan Presiden, Vladimir Putin bagi membincangkan isu di timur Ukraine memandangkan penglibatan Rusia sangat penting dalam mewujudkan kestabilan," katanya.
Poroshenko merupakan seorang ahli politik dan usahawan yang mempunyai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM3.2 bilion) hasil perniagaan kilang coklat dan koko.
Rakyat Ukraine meletakkan harapan kepada Presiden baharu mereka untuk menyelamatkan negara ini daripada muflis, perpecahan dan perang saudara ekoran konflik di timur negara.
Sementara itu, seorang penduduk dilaporkan terbunuh apabila kumpulan pemisah pro-Rusia menyerang pusat pengundian di wilayah Luhansk selain menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurut laporan pihak berkuasa, hanya 20 peratus pusat pengundian beroperasi di wilayah Donetsk dan Luhansk, walaupun jumlah pengundi yang keluar di seluruh negara amat tinggi. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_04/Raja-Coklat-Presiden-baharu-Ukraine#ixzz32rcb6yh0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment