Monday, May 26, 2014

Siri serangan bom gegar Selatan Thai


SEORANG anggota tentera berkawal di hadapan sebuah kedai yang musnah dalam satu siri serangan bom di Pattani, Selatan Thailand kelmarin.


NARATHIWAT, Thailand - Sekurang-kurangnya tiga maut dan 55 lagi cedera dalam beberapa siri serangan bom di beberapa lokasi di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat kelmarin.
Seorang jurucakap tentera Thailand, Kolonel Piamote Prom-In berkata, beberapa serangan bom dan tembakan dilaporkan berlaku di beberapa lokasi pada petang kelmarin.
"Bom meletup di beberapa lokasi yang sibuk dengan orang ramai yang membeli barangan keperluan sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan pada waktu malam.
"Serangan ini menyebabkan tiga terbunuh dan seramai 55 lagi cedera. Lima daripada mereka dilaporkan parah," katanya semalam.
Akhbar The Bangkok Post melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 13 bom meletup secara serentak di wilayah Pattani.
Antara lokasi serangan termasuklah kedai 24 jam, pejabat Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah, sebuah kemudahan elektrik dan sebuah stesen minyak di daerah Muang.
Serangan tersebut menyebabkan daerah itu terputus bekalan elektrik. Polis turut menerima laporan terdapat tembakan dilepaskan ke arah pejabat berkenaan.
Kumpulan pemisah Islam sebelum ini sering didakwa bertanggungjawab melakukan serangan di wilayah berkenaan yang menyebabkan beribu-ribu penduduk maut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32ltWTdfV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment