Sunday, May 11, 2014

Thailand semakin meruncing


Penyokong ‘Baju Merah’ prokerajaan memegang gambar Yingluck ketika mereka berhimpun di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 10 Mei - Pergerakan Baju Merah yang menyokong kerajaan hari ini mula berhimpun di barat ibu negara ini untuk mempertahankan kerajaan yang cuba digu­lingkan oleh penunjuk perasaan anti kerajaan selepas bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra di­singkir Mahkamah Perlembagaan, menimbulkan kebimbangan berlakunya pertempuran antara kedua-dua kumpulan tersebut.
Perhimpunan oleh Baju Merah itu berlaku sehari selepas penunjuk perasaan antikerajaan yang berkempen selama enam bulan untuk menggulingkan Yingluck mengadakan demonstrasi di stesen-stesen televisyen, bangunan-bangunan kerajaan dan menuntut ahli Parlimen membantu mereka melantik seorang perdana menteri sementara, Isnin ini.
Ketua kumpulan Baju Merah, Jatuporn Prompan berkata, mereka akan terus berhimpun selama mana demokrasi di negara ini tidak selamat.
Beliau pada masa sama memberi amaran sekiranya rampasan kuasa atau pelantikan seorang perdana menteri tanpa dipilih rakyat, kumpulan Baju Merah akan meningkatkan perjuangan mereka dengan segera.
Bagaimanapun, Jatuporn tidak menyatakan jenis tindakan yang akan diambil kumpulan itu namun beliau membayangkan tindakan tersebut akan diambil secara aman kerana mereka tidak mahu melihat orang ramai terbunuh atau cedera.
Dalam pada itu, pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban memberitahu pengikutnya malam tadi bahawa Dewan Senat sepatutnya memilih seorang perdana menteri baharu dengan segera terutamanya selepas Dewan Rendah telah dibubarkan, Disember lalu.
“Perkara ini mesti berakhir sebelum Isnin. Kami sudah bersedia untuk merampas pejabat perdana menteri. Sekiranya ia tidak selesai maka kami akan bertindak sendiri," kata Suthep.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam konflik politik negara ini kerana tindakan seperti rampasan kuasa oleh tentera tidak akan menamatkan konflik tersebut.
Katanya dalam wawancara radio hari ini, orang ramai perlu memahami tugas tentera dan tidak terpengaruh dengan desakan daripada mana-mana pihak.
“Kedua-dua parti terlibat dalam konflik tersebut perlu menyelesaikan konflik itu menerusi saluran perundangan," lapor laman web akhbar Bangkok Post. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140511/lu_01/Thailand-semakin-meruncing#ixzz31Lz3rKRl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment