Monday, June 2, 2014

10 direkrut jadi pengebom berani mati


RAKYAT Malaysia (dua dari kanan) yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara untuk menjadi pengebom berani mati.
KUALA LUMPUR 31 Mei - Mengejutkan. Itulah yang boleh dirumuskan apabila sebanyak 10 ahli Jemaah Islamiah (JI) rakyat Malaysia yang pernah menjalani latihan ketenteraan di luar negara seperti Afghanistan dan selatan Filipina direkrut untuk menjadi pengebom berani mati.
Ini bermakna mereka yang telah berbai'ah atau melafazkan 'akujanji' untuk mati syahid dalam perjuangan, bersedia pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk meletupkan diri bersama bom.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepada Utusan Malaysia baru-baru ini yang memberitahu, walaupun jumlah berkenaan bukanlah angka yang besar tetapi ketika ditangkap, mereka dalam persediaan untuk melaksanakan serangan pengeboman gelombang kedua selepas 11 September 2001.
“Siasatan mendapati serangan tersebut disasarkan ke atas kepentingan Singapura iaitu Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menggunakan bom yang dipasang pada sebuah treler.
“Ketika lima daripadanya ditangkap pada 2001 di Johor, pihak polis turut menemui beberapa tan bahan untuk membuat bom, terdiri daripada baja ammonium nitrat dan bahan api yang boleh menghasilkan letupan jenis ANFO.
“Persediaan yang mereka lakukan untuk melancarkan serangan berkenaan sangat rapi dan kami percaya mereka yang mendapat pendidikan di Sekolah Islam Luqmanul Hakim (SILH) milik JI di Ulu Tiram, Johor, hanya menunggu masa untuk melaksanakannya," katanya.
Kata beliau, hasil soal siasat terhadap kelima-lima suspek, mereka turut mengakui diarah bersiap sedia menyerang sebuah kapal milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan akan berlabuh di Pelabuhan Klang dalam program rangka lawatan ke negara ini.
Jelasnya, kelima-lima mereka adalah anak didik yang setia pada arahan pemimpin JI, Nordin Mat Top.
Ayob Khan seterusnya memberitahu, baki lima lagi pengebom berani mati telah direkrut oleh seorang lagi pemimpin JI iaitu Hambali untuk melaksanakan misi memusnahkan bangunan US Bank Tower di California, AS.
“Kumpulan kedua itu yang ditangkap pada 2003 pula dipercayai mempunyai hubungan secara langsung dengan Al-Qaeda dan bentuk serangan yang bakal dilancarkan juga berskala lebih besar.
“Salah seorang daripada mereka ketika itu sudah pun mempunyai kepakaran mengendalikan pesawat dan sedang memantapkan kemahiran membawa pesawat yang lebih besar.
“Pihak berkuasa percaya dia turut dilatih memahirkan diri dengan plot dan prosedur rampasan pesawat," tambahnya.
Kata Ayob Khan, jika pihak berkuasa gagal menghidu kegiatan pengganas di dalam negara dan perancangan mereka itu jika sempat direalisasikan, ia berupaya melumpuhkan sistem pentadbiran dan ekonomi negara yang mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali pulih.
Tambahnya, sebanyak lapan pengebom yang telah ditangkap itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan manakala dua lagi telah dihantar ke Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140601/je_01/10-direkrut-jadi-pengebom-berani-mati#ixzz33UX4bLNY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment