Amirtham
Amirtham
TELOK PANGLIMA GARANG - Bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370,   G. Subramaniam, 60, berkata, beliau tidak akan tenang selagi tidak melihat anak sulungnya, S. Puspanathan di depan mata.

Menurutnya, pada tahun ini, dia sedih kerana tidak dapat meraikan Sambutan Hari Bapa bersama anaknya.

“Saya tak mampu nak ucap apa-apa lagi selepas sudah masuk hari ke 100 pencarian MH370 dan pada Hari Bapa nanti mungkin saya akan menitiskan air mata kerana teringatkan anak.

“Masa Puspanathan ada, dialah yang akan meraikan sambutan hari bapalah, hari ibu atau hari jadi sesiapa dalam keluarga namun selepas ini tak lagi,” katanya.

Subramaniam turut menyifatkan anaknya seorang yang gigih kerana sanggup bekerja keras untuk memperbaiki taraf hidup keluarga mereka.

Katanya, bagaimanapun, dia masih mengharapkan anaknya kembali.

Isterinya A Amirtham, 60, pula memohon maaf kepada media yang pernah datang ke rumahnya sebelum ini kerana enggan mengulas mengenai 100 hari kehilangan MH 370 kerana terlalu sedih apabila memikirkan anaknya masih belum ditemui.

“Seminggu sekali saya akan ke kuil sembahyang berdoa mohon dimakbulkan permintaan supaya kesemua penumpang MH370 kembali namun sehingga hari ini belum ada khabar berita.

“Saya terpaksa membuka televisyen dan membaca surat khabar untuk mengetahui berita kehilangan MH 370 namun sama sahaja,” katanya.

Dia memberitahu, sebelum ini dia pernah  terkejut mendengar suara operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya.

Namun itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama kehilangan pesawat MH 370 dilaporkan, 8 Mac lalu.

“Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah 100 hari berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat. Saya percaya masih ada harapan,” katanya.