Sunday, July 13, 2014

Kuis bakal jadi universiti wakaf pertama Malaysia 2016


SELANGORKINI | .
BANGI: Selangor sebagai sebuah negeri yang mementingkan pembangunan ilmu bakal memiliki sebuah lagi universiti penuh menjelang 2016 nanti.

Ini bakal direalisasikan apabila Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berjaya mencapai status universiti penuh pada 2016 nanti.

Rektor KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, antara langkah diambil bagi menjayakan wawasan ini termasuk menawarkan program pasca siswazah iaitu Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Muamalah), Ijazah Sarjana Syariah (Pengurusan) dan Doktor Falsafah Islamiyyat.

“Penawaran program ini adalah bagi menggalakkan usaha melahirkan lebih ramai profesional dan penyelidik Islamik disamping memupuk dan meneruskan usaha menjalankan penyelidikkan ilmiah,” kata Dr Ab Halim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Al-Azhar, KUIS di sini semalam.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Kuis.

Kuis juga akan menambah program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana seperti Sarjana Kewartawanan, Komunikasi Islam dan beberapa jurusan lagi.

Tidak ketinggalan program peringkat Sarjana Muda seperti Pendidikan Islam dengan Multimedia, TESL dengan Multimedia, Bahasa Inggeris dan Komunikasi Korporat.

Kata Dr Ab Halim, Kuis turut merancang mewujudkan program Diploma Eksekutif Pengurusan Masjid dan Pembangunan Komuniti bagi semua bakal imam, pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid seluruh Selangor.

Tambah beliau, Kuis juga berhasrat menjadi Universiti Wakaf yang pertama di Malaysia.

“Sehubungan itu, selain berusaha mendapatkan sumbangan wakaf dari luar negara, KUIS sudah diberi kebenaran oleh Perbadanan Wakaf Selangor bagi menerima sumbangan orang ramai agar berwakaf di Kuis dengan tujuan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Kuis juga sudah menubuhkan Pusat Zakat Pendidikan di Kuis dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Sejak sebulan penubuhannya, Pusat Zakat Kuis berjaya mengutip sebanyak RM86,500 daripada orang ramai,” kata Dr Ab Halim.-HARAKAHDAILY 13/7/2014

No comments:

Post a Comment