Tuesday, July 1, 2014

Redzuan dipecat kerana kritik pentadbiran Umno

anwar
SHAH ALAM - Pemecatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman didakwa sebagai hukuman kerana mengkritik pentadbiran Umno.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan itu bagaimanapun tetap melahirkan rasa kecewa.

Katanya, tindakan itu tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila kajian Mohamad Redzuan itu memihak kepada pembangkang.

"Hukuman itu cukup pantas menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno.

"Penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata-mata untuk mempertahankan kepentingan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Redzuan dilaporkan menerima arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meletakkan jawatan.

Bukan itu sahaja, jawatan beliau sebagai dekan kepada Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti itu juga tidak diperbaharui.

Kesal dengan sikap KPM itu, Datuk Saifuddin Abdullah juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai felo penyelidik kanan di fakulti sama di Universiti Malaya (UM) berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak.

"Tindakan terbaru ini bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment