Friday, July 18, 2014

Yazid, Muhammad Hilmi kembali dibicara di Mahkamah Tinggi


ANGGOTA polis mengawal Yazid Sufaat (berkaca mata) dan Muhammad Hilmi Hasim ketika hadir di Mahkamah Rayuan bagi prosiding rayuan berikutan pembebasan mereka daripada tuduhan berkaitan keganasan di Istana Kehakiman, Putrajaya, Mei tahun lalu. - GAMBAR FAIL
PUTRAJAYA 16 Julai - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kes terhadap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan rakannya, Muhammad Hilmi Hasim berkaitan tuduhan melibatkan keganasan, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan demikian selepas menolak rayuan kedua-duanya.
Kes terhadap Yazid, 50, dan Muhammad Hilmi, 34, telah ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Julai ini.
Hakim Arifin ketika mengumumkan keputusan tersebut menyatakan, rayuan itu ditolak kerana isu yang dibangkitkan tidak sesuai dan bersifat pramatang pada peringkat ini dan harus diselesaikan terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi.
Perayu-perayu mengemukakan persoalan sama ada tuduhan terhadap mereka tertakluk dalam ruang lingkup dan skop pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Pada hemat panel itu, isu sama ada SOSMA terpakai dalam kes terhadap kedua-duanya perlu diputuskan pada perbicaraan dan boleh dijadikan asas pada peringkat rayuan kelak.
Sebelum itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili kedua-duanya berhujah, SOSMA tidak sesuai digunakan dan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana undang-undang itu berada di luar ruang lingkup Perkara 149.
Pada peringkat itu, Hakim Arifin mencelah dengan menyatakan, perayu-perayu sepatutnya meneruskan perbicaraan di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu dan kemudian mencabar perjalanan prosedur, bukannya mencabar tuduhan yang dikenakan.
Bagaimanapun, Amer Hamzah menghujahkan, perayu-perayu mencabar pendakwaan terhadap mereka kerana tuduhan yang dikenakan cacat dan tidak sesuai dibangkitkan selepas perbicaraan bermula.
Namun demikian, Hakim Arifin menyatakan, perayu-perayu tidak boleh mencabar untuk mengetepikan tuduhan tersebut yang tidak mengandungi kecacatan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Wahab Mohamed berhujah, SOSMA merupakan akta yang digubal secara prosedur bertujuan untuk membicarakan kesalahan-kesalahan melibatkan keselamatan dan fungsinya sama seperti Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan 1950.
Sehubungan itu, beliau menghujahkan, Perkara 149 tidak sepatutnya digunakan untuk mengehadkan skop pemakaian SOSMA.
Mahkamah Rayuan pada 18 Jun tahun lalu membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan tiga mereka termasuk seorang lagi rakan Yazid, Halimah Hussien, 53.
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan manakala Muhammad Hilmi dan Halimah didakwa bersubahat. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan denda.
Hakim Kamardin Hashim membenarkan permohonan ketiga-tiganya untuk membatalkan pertuduhan iaitu menggalakkan keganasan bagi memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi, antara 1 Ogos dan 20 Oktober 2012.
Halimah bagaimanapun menghilangkan diri sehingga hari ini selepas mereka dibebaskan daripada tuduhan tersebut di peringkat Mahkamah Tinggi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140717/ma_02/Yazid-Muhammad-Hilmi-kembali-dibicara-di-Mahkamah-Tinggi#ixzz37liHsRmV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment