Thursday, October 16, 2014

Atasi banjir, kesesakan di Jakarta


Pembinaan sistem tembok pemecah ombak dijangka dapat mencegah banjir teruk di Jakarta. - Agensi
JAKARTA 15 Okt. - Indonesia meluluskan pembinaan sebuah sistem tembok pemecah ombak besar melibatkan kos AS$40 bilion (RM120 bilion) dan bakal mewujudkan 17 buah pulau baharu untuk menangani masalah banjir dan kesesakan trafik di ibu negara Indonesia ini.
Projek mega itu melibatkan pembinaan tembok sepanjang 35 kilometer di Teluk Jakarta, kawasan perairan di utara bandar raya ini selain akan turut mewujudkan 17 buah pulau yang akan berperanan sebagai bandar baharu.
Pulau-pulau itu juga akan menyediakan kawasan penempatan dan pekerjaan untuk sejuta penduduk, bertujuan mengurangkan kesesakan di ibu negara.
Lebih menarik, keseluruhan projek itu termasuk pembinaan tembok dan pulau, akan direka dengan burung Garuda yang menjadi simbol kebangsaan negara.
Pembinaan projek tersebut bermula pada minggu lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga dekad iaitu pada 2044.
Pegawai kanan Kementerian Ekonomi, Purba Robert M. Sianipar yang memainkan peranan utama dalam pelaksanaannya berkata, projek tersebut merupakan satu tindakan penting dalam penyelesaian kepada masalah banjir.
"Beratus-ratus penduduk Jakarta berisiko kehilangan nyawa akibat banjir jika tiada tindakan diambil,'' katanya.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada projek besar-besaran tersebut berjaya disiapkan ekoran rekod buruk Indonesia berhubung projek infrastruktur seperti pembinaan monorel di Jakarta yang diselubungi rasuah pada enam tahun lalu.
Ketua Menteri Ekonomi, Chairul Tanjung menyatakan keputusan kerajaan baharu pada masa depan juga boleh memberi kesan kepada perjalanan projek tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141016/lu_01/Atasi-banjir-kesesakan-di-Jakarta#ixzz3GG8UmVMs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment