Abdul Hamid (kanan) meninjau lokasi kejadian.
Abdul Hamid (kanan) meninjau lokasi kejadian.
BACHOK – Dua bersaudara cedera ditikam seorang lelaki berusia 32 tahun dalam kejadian di Kampung Durian Kudung, dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa Mohd Saruan Mohd Noor,35, cedera pada bahagian dada kiri dan sepupunya Mohd Azim, 20-an, cedera pada tangan ketika cuba menghalang suspek daripada terus menikam Mohd Saruan.

Menurutnya, ketika kejadian, dua mangsa berada di dalam bangsal depan rumahnya sebelum didatangi suspek.

“Mereka dikatakan bertengkar kerana mangsa menuduh suspek mencuri angsa. Pertengkaran berlarutan dan menyebabkan suspek mengambil parang yang berada di situ lalu menikam Mohd Saruan. Mohd Azim yang cuba menghalang turut sama cedera.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis Gunong.  Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian semalam.

Manakala, adik Mohd Saruan, Mohd Farid,22, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumahnya.

Apabila mendengar pertengkaran itu dia terus keluar untuk meninjau keadaan.

“Bila saya keluar tengok abang sudah berdarah. Saya bersama seorang lagi abang, Mohd Hanif dan beberapa penduduk segera menahan suspek.

“Selepas itu kami bawa mereka ke hospital dan hubungi pihak polis untuk menahan suspek. Kini keadaan abang dan sepupu sudah stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, “ katanya.

Mohd Saruan adalah anak kedua daripada 12 adik -beradik. Mereka tinggal bersama ibunya seorang ibu tunggal bersama beberapa adik-beradik yang lain.

Namun ketika itu ibu mereka tiada di rumah kerana menghadiri majlis konvokesyen salah seorang anaknya di Pulau Pinang.