Thursday, December 25, 2014

CEO Ideas Jadi Suspek Khalwat JAIPk


Diterbitkan: Khamis, 25 Disember 2014 1:47 PM
Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berang apabila menjadi sasaran pihak berkuasa agama Perak apabila bilik hotelnya diperiksa pada awal pagi Khamis kerana disyaki berkhalwat.
Sambil mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ketika melakukan pemeriksaan di sebuah hotel di Parit Buntar, beliau menjelaskan, ketika kejadian pada pukul 3.20 pagi itu, beliau bersama ibunya dan dua anak perempuannya tidur di dua bilik berasingan di hotel berkenaan.
Menamakan pegawai penguatkuasa itu sebagai si bodoh, Wan Saiful mendakwa, pintu bilik hotel diketuk kuat dan salah seorang pegawai memberitahu mahu melakukan pemeriksaan dengan hanya menunjukkan kad kuasa tanpa waran.
“Saya ada beritahu ibu saya sedang tidur dan dia tidak bertudung ketika itu, tetapi salah seorang pegawai berkenaan bertegas nak masuk dan terus buat pemeriksaan.
“Selepas dia masuk dan melihat tiada ‘apa-apa yang menarik perhatian’, dia terus keluar dan tanpa cakap terima kasih atau memohon maaf,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Beliau yang bermalam di situ selepas menghadiri majlis bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dan Kluang, masing-masing Dr Mujahid Yusof Rawa dan Liew Chin Tong turut menyuarakan kekesalannya berhubung insiden itu di Facebook (FB) serta Twitter pada pagi Khamis. Pelbagai pihak memberi reaksi berhubung status laman sosialnya itu.
Menerusi laman sosialnya, Wan Saiful berkata: “Selepas menunjukkan kad nama, si bodoh yang mengganggu itu bertegas mahu masuk melihat ke dalam bilik, walaupun saya katakan ibu saya sedang tidur. Sudahlah mengganggu pagi pagi buta. Tiada perkiraan mengenai aurat pula. Ada periksa di hotel-hotel lima bintang? Di rumah-rumah milik orang bergelar hebat-hebat? Entah betul entah tidak dari Pejabat Agama. Yang pastinya memang bodoh dan mengganggu.”
Kenyataan Wan Saiful di Twitter dan Facebook mengenai tindakan sekumpulan pegawai agama yang membuat pemeriksaan di bilik hotel, awal pagi Khamis.
Wan Saiful berkata, beliau kesal dengan tindakan itu yang memperlihatkan seolah-olah pegawai agama berkenaan tidak menghormati privasi yang membabitkan isu aurat.
Tambahnya lagi, turut dipersoalkan ialah mengapa hanya biliknya dan dua yang lain yang diperiksa sedangkan hotel itu mempunyai lebih 50 bilik.
“Pihak hotel beritahu hanya tiga bilik sahaja yang diperiksa dan salah satu daripadanya adalah bilik saya. Kenapa saya yang jadi sasaran?,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap supaya pemeriksaan yang dibuat oleh JAIPk dapat diperbaiki dengan mengikut SOP yang betul, pada masa akan datang.
“Saya bercadang menulis surat rasmi kepada pejabat agama dan lain-lain yang bertanggungjawab tentang hal agama di Perak, untuk menjelaskan apa yang berlaku adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Mereka tidak boleh 'menyerang' privasi orang lain tanpa prosedur yang betul. Jadi, matlamat saya adalah supaya SOP ini dapat diperbaiki dan diharapkan ia merupakan pandangan dan kritikan yang membina,” kata Wan Saiful. 

No comments:

Post a Comment