Tuesday, December 9, 2014

Serpihan MH17 tiba di Belanda



KONVOI trak membawa serpihan bangkai pesawat MH17 memasuki Belanda, hari ini. - Foto EPA
KUALA LUMPUR : Konvoi lapan trak membawa serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di pangkalan tentera udara Belanda di Gilze-Rijen, selatan negara itu, hari ini.
Bangkai pesawat berkenaan akan disusun semula oleh penyiasat sebagai sebahagian daripada proses siasatan tragedi 17 Julai itu.
Menurut laman portal Penyiaran Kebangsaan Belanda (NOS), ketibaan trak berkenaan disambut kira-kira 50 waris keluarga mangsa yang menanti di satu ruang khas di pangkalan tentera itu.
Menurut laporan itu, penyiasat kelihatan cuba mencantum ekor dan bahagian dalam kokpit pesawat itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai punca pesawat itu terhempas.
Bahagian pesawat terbabit juga akan dirakam, diimbas serta dikelaskan dalam masa terdekat dan bermula tahun depan, pembinaan semula bangkai itu akan dimulakan.
Menurut laporan itu, tiada sambutan atau istiadat khas seperti ketibaan jenazah sebelum ini dibuat dan saudara terdekat juga tidak berada di lokasi ketika bangkai pesawat di trak berkenaan dibuka.
Terdahulu, konvoi lapan trak itu diiringi anggota polis.
Pada 17 Julai lalu, pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.

No comments:

Post a Comment