Kar Choy (dua, kanan) gembira menunjukkan Mykad, pasport dan sijil kelahiran yang baru diterimanya semalam
selepas tujuh bulan berurusan di JPN.
Kar Choy (dua, kanan) gembira menunjukkan Mykad, pasport dan sijil kelahiran yang baru diterimanya semalam selepas tujuh bulan berurusan di JPN.
KUANTAN – Seorang ahli perniagaan kini boleh menarik nafas lega apabila akhirnya diiktiraf sebagai warganegara Malaysia setelah 29 tahun ‘menjadi’ warga asing.

Chee Kar Choy,29 berkata, dengan adanya kad pengenalan biru, dia merasakan kehidupannya baru sahaja bermula, walaupun lahir dan membesar di negara ini.

Menurutnya, keadaan menjadi sukar apabila dia diserahkan kepada sebuah keluarga angkat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Dari kecil saya memegang status bukan warganegara, saya tidak pernah mendapat hak sebagaimana orang lain.

“Sejak zaman sekolah, bayaran yuran lebih tinggi dari kawan-kawan, ketika remaja tidak mendapat sebarang bantuan ataupun sumbangan seperti orang lain, sehingga ingin berkahwin pun keadaan terus menjadi sukar,” katanya.

Kar Choy berkata, dua tahun lepas, dia baru sahaja bertemu dengan ibu kandungnya dan mahu perjuangkan hak sebagai rakyat Malaysia.

Ibu Kar Choy, Lee Swee Yang,54 berkata, dia ada mendengar cerita mengenai seorang budak lelaki yang tidak mempunyai kad pengenalan di Sungai Ruan, Raub.

“Saya ada mendengar khabar angin itu dan terus datang ke Raub untuk bertanya sendiri perihal lelaki yang tidak mempunyai status lengkap sebagai warganegara.

“Saya yakin itu adalah anak saya yang diberikan kepada pasangan suami isteri yang tidak dikenali lebih 25 tahun lalu.

“Melihat akan wajahnya saya yakin dia adalah anak saya kerana seiras dengan adik-adik yang lain,” katanya.

Selepas mengetahui ibu kandungnya masih hidup, Kar Choy membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara namun tiga kali permohonan itu gagal.

“Saya tidak pernah berputus asa dan hasil bantuan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), saya ke Kuantan minta bantuan daripada Yang Berhormat, Adun Teruntum, Sim Chon Siang.

“Dalam masa tujuh bulan, akhirnya saya peroleh Mykad semalam,” katanya.

Chon Siang berkata, banyak masalah seperti ini berlaku di kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau berharap agar mereka yang thadapi masalah yang sama tampil kepada pihak yang benar-benar boleh membantu.

“Ada pihak lain cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga tinggi pada perkhidmatan mereka untuk mendapatkan hak sebagai warganegara,” katanya.