Friday, January 30, 2015

AS ganti pesawat Air Force One



SEBUAH pesawat komersial jenis Boeing 747-8.


WASHINGTON – Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) kelmarin memberitahu bahawa pihaknya akan menggunakan pesawat komersial model Boeing 747-8 untuk menggantikan dua pesawat Presiden yang dikenali sebagai Air Force One.
Keputusan itu dibuat sebulan selepas Boeing memaklumkan pihaknya akan mengurangkan pengeluaran pesawat 747-8 daripada 1.5 buah kepada 1.3 sebulan kerana tempahan yang semakin menurun.
“Pesawat Boeing 747-8 ialah satu-satunya pesawat yang dipasang di negara ini yang memenuhi keupayaan serta memantapkan misi sokongan Presiden,” kata Setiausaha Tentera Udara AS, Deborah James dalam satu kenyataan.
Boeing menyambut baik keputusan untuk memilih pesawat 747-8 dan menolak persaingan daripada syarikat lain.
Boeing sudah 50 tahun berkhidmat menyediakan pesawat khas untuk kegunaan Presiden AS dan pesawat Air Force One juga dianggap sebagai salah satu simbol kebanggaan negara itu.
James berkata, pihaknya berhasrat untuk menganugerahkan kontrak tunggal kepada Boeing, tetapi mereka masih perlu berbincang mengenai kontrak dan pengubahsuaian yang diperlukan bagi menyesuaikan pesawat dengan kegunaan Presiden.
Tentera udara AS kini mengendalikan dua pesawat Air Force One daripada model Boeing 747-200B yang direka khas untuk kegunaan presiden negara itu.
Bagaimanapun, sebarang maklumat berhubung kontrak baharu pesawat Air Force One tersebut termasuk kos tidak didedahkan.
Tambahnya, kontrak itu mengandungi pembelian yang cukup bagi peralatan asas teknikal dan memberi hak menyelenggara semasa pesawat yang dijangka digunakan dalam tempoh 30 tahun. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3QFqyjLVz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment