Sunday, January 4, 2015

Banjir: Berhenti Beri Lesen Balak Selama 25 Tahun - Ibrahim Ali


Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2015 5:32 PM
 Datuk Ibrahim Ali
Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyarankan agar pemberian lesen pembalakan dihentikan sekurang-kurangnya 25 tahun bagi mengelak banjir besar berulang.

Katanya kerajaan negeri terutama negeri-negeri yang berisiko banjir setiap tahun perlu melaksanakan langkah berkenaan bagi mengelak impak besar banjir ekoran kegiatan pembalakan yang berleluasa.

"Selagi ada pemberian lesen pembalakan, selagi itu ada kemusnahan hutan, selagi ada kawasan yang 'halal' untuk membalak, selagi itu ada kegiatan 'haram' pembalakan ini.
"Kita hanya salahkan pembalakan, kemusnahan hutan sebagai penyebab banjir setiap kali banjir berlaku, tapi pernah tak fikir, lesen membalak tu siapa yang bagi, yang luluskan?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muhibah Perkasa bersama Orang Asli di Bukit Lagong di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa ahli akademik yang menjurus kemungkinan bencana banjir terburuk ketika ini mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan.

"Kita boleh hentikan sementara, 25 tahun sekurang-kurangnya, bagi muka bumi, tanah stabil. Lesen boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar berkaitan dengan industri contohnya industri perabot sahaja.

"Lagipun saya rasa Malaysia tidak kurang pendapatan jika cukai balak ini tiada," katanya.

Sementara itu, Ibrahim melahirkan rasa terima kasih dan kagum terhadap kepimpinan dan ahli Perkasa seluruh negara yang telah bertungkus lumus mengumpul dan mengagih bantuan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir.

Selain bantuan keperluan asas, Perkasa kini dalam proses mengumpul sumbangan berbentuk bahan binaan ringan seperti zink, simen dan papan bagi membantu membina semula rumah penduduk yang rosak sementara mereka mendapat bantuan untuk membina rumah baharu.

No comments:

Post a Comment