Friday, January 23, 2015

"Hanya Jumpa Di Sekolah, Awie 'Sorok' Anak" - Rozana Misbun


Diterbitkan: Jumaat, 23 Januari 2015 12:37 PM
Rozana ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur. Foto adalah ihsan portal berita - Malaysia Gazette.

PETALING JAYA: Penyanyi Awie tidak habis-habis mahu memutuskan hubungan ibu dan anak apabila sanggup menyembunyikan tiga anaknya pada Sabtu lalu.

Perkara itu didedahkan oleh isteri penyanyi rock itu, Rozana Misbun, 37, apabila hasrat dia untuk berjumpa tiga anaknya iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, di rumah suaminya itu gagal walaupun sudah dimaklumkan lebih awal.

“Pada Sabtu lalu saya ada hubungi pembantu rumah Awie dan melaluinya saya dapat bercakap dengan tiga anak saya. Mereka benar-benar merindui saya. Saya pesan kepada pembantu rumah untuk ambil mereka pada pukul 6 petang Sabtu dan pulangkan semula 6 petang pada hari Ahad.

“Sayangnya apabila saya datang ke rumah Awie di Ukay Bistari pada hari Sabtu lepas, tiada sesiapa di rumah termasuk anak-anak,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.
mStar Default Image
Rozana Misbun. Foto ihsan Malaysia Gazette.

Jelas Rozana, semasa di rumah itu dia cuba menghubungi pembantu rumah berkenaan tetapi talian telefon dimatikan dan Awie pula tidak menjawab panggilan.

Tambah Rozana, pada waktu yang sama dia telah menghantar mesej kepada Awie agar memastikan anak-anaknya ada di rumah  pada pukul 11 pagi keesokkan harinya (Ahad) untuk dia datang berjumpa mereka sekali lagi, tetapi tetap gagal.

Katanya, semasa tiba untuk kali kedua pada hari Ahad, rumah berkeenaan masih berkunci.

Disebabkan masih gagal berjumpa anak-anak, Rozana akhirnya terpaksa pergi ke sekolah dua anaknya iaitu Merrah dan Rezzki pada Khamis (semalam) untuk melepaskan rindu.

“Saya ada bertanya kepada anak sulung saya ke mana mereka pergi hari Sabtu lepas dan dia menjawab, mereka tidur di Rawang (iaitu rumah kakak sulung Awie) dengan alasan ayah mereka ada kerja,” katanya kesal dengan sikap Awie itu.

Bagaimanapun kata Rozana, dia tidak dapat berjumpa seorang lagi anaknya iaitu Qasseh kerana tidak tahu dimanakah kanak-kanak itu dihantar bersekolah.

Ditanya bagaimana reaksi dua anaknya selepas tujuh bulan terpisah Rozana berkata, mereka kelihatan seperti keliru tetapi dia bersyukur mereka masih mengenalinya.

“Saya kasihan melihat anak-anak saya dan menangis memeluk mereka. Tapi syukurlah mereka tidak lupakan saya walaupun tujuh bulan kami berpisah,” jelasnya.

Dalam pada itu Rozana menegaskan, tuduhan Awie seperti dilaporkan akhbar pada Khamis kononnya dia tiada usaha untuk berhubung atau berjumpa anak-anak adalah mengarut.

Awie
Awie (Wings)

Katanya, hasrat untuk berjupa seringkali dihalang termasuklah dalam kejadian pada Sabtu dan Ahad lalu sebagai bukti.

“Semalam dalam akhabar Awie ada sentuh isu dia sebagai bapa adalah penyumbang ekonomi kepada anak-anak dan hal itu seharusnya tidak dibangkitkan.

“Sebagai ketua keluarga, sudah menjadi tanggungjawab suami dan ayah kepada anak-anak untuk mencari rezeki buat keluarganya.

“Satu perkara lagi semua orang perlu jelas… selama ini saya tidak berjumpa anak sebab   Awie yang memohon kepada mahkamah menghalang saya berjumpa anak-anak. Kenapa dia masih tak faham dan terus membangkitkan hal itu?” tegurnya.

Rozana menambah tiada sebab untuk dia dihalang berjumpa anak-anak kerana mengikut sejarahnya, dia bukanlah seorang kaki pukul atau penjenayah.

“Saya bukannya penjenayah yang punya sejarah pukul orang sampai tulang rusuk patah jauh sekali membunuh sehingga Awie tergamak mengenakan injunksi kepada saya halang jumpa anak-anak.

“Perlu diingat, sayalah ibu yang melahirkan tiga anak saya dari sebesar tapak tangan. Lagipun faktor keselamatan telah menyebabkan saya berada dalam perlindungan polis yang menghalang saya menjejakkan kaki di  tempat saya dipukul iaitu tempat tinggal anak-anak saya sekarang.

“Saya bersyukur kerana akhirnya mahkamah membatalkan hak jagaan sementara yang diperoleh Awie kerana dengan perintah itulah membolehkan saya berjumpa anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu Rozana meminta Awie tidak terus mengungkit perkara sedemikian lagi sebaliknya pergilah uruskan sijil pernikahan palsu mereka secepat mungkin.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu  membatalkan hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Awie secara ex-parte (sebelah pihak).

Dengan pembatalan itu, kedua-dua pihak mempunyai hak ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka itu.

Awie dan Rozana bernikah secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

No comments:

Post a Comment