Friday, January 9, 2015

Kartunis bangkit

Add caption
LUKISAN Rob Tornoe.
Paris: Kartunis seluruh dunia menyatakan kekesalan mereka terhadap pembunuhan karyawan majalah satira Charlie Hebdo melalui kaedah yang paling digemari mereka - kartun.
Selain memuatkan kritikan mereka di Internet, tempat awam juga dijadikan wadah menyatakan bantahan mereka terhadap pembunuhan berkenaan.
Pejabat majalah itu diserang tiga lelaki bersenjata kelmarin, menyebabkan 12 orang maut dan mencederakan 11 lain.
Sepuluh daripada mangsa ialah karyawan majalah berkenaan, dengan sekurang-kurang empat orang adalah kartunis.
Ketika puluhan ribu orang berhimpun di jalan raya di seluruh dunia bagi menyatakan sokongan terhadap mereka yang maut, kartunis pula menggunakan lukisan untuk membuktikan pena mereka lebih tajam daripada peluru.
Menggunakan hashtag #jesuischarlie (Saya Charlie), mereka berkongsi mesej berbentuk lukisan yang membawa mesej tersendiri bagi mempertahankan hak kebebasan bersuara, menolak keganasan seterusnya memperingati rakan mereka yang tumpas dari majalah berkenaan.
Antara lukisan yang paling mendapat sambutan dihasilkan kartunis The Canberra Times, David Pope, yang dikongsi lebih 62,000 kali dalam tempoh hanya 13 jam selepas dimuat naik di Internet.
“Tak dapat tidur malam ini, mengenangkan rakan kartunis Perancis dan keluarga mereka,” katanya di sisi lukisan itu di Twitter.
Imej dilukiskan kartunis The Independent, Dave Brown menunjukkan tangan keluar dari majalah Charlie Hebdo sambil menunjukkan isyarat lucah dan dipenuhi dakwat merah turut dikongsi lebih 22,000 pengguna Twitter, termasuk penulis popular, J K Rowling.
Banyak kartun menunjukkan pen atau pensel yang mewakili mangsa.
Ada juga menunjukkan pensel yang sudah ditajamkan seolah-olah membalas dendam terhadap penyerangnya, seperti dilukiskan pelukis grafiti Banksy yang mendapat lebih 82,000 ‘like’ dalam tempoh enam jam di Instagram.
Kartun sokongan turut disumbangkan artis dari India, Mesir, Brazil, Kanada, Sepanyol dan Belgium.
Kartunis Brazil Carlos Latuff memaparkan dua lelaki menembak ke arah ibu pejabat Charlie Hebdo sebelum peluru yang menembusi bangunan itu mengenai pula bangunan seperti masjid.
Setiap lukisan jelas mengukuhkan pendirian pengarang dan kartunis akhbar berkenaan, Stephane Charbonnier yang pernah berkata pada 2012: “Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut.”
Charbonnier dan polis pengawal peribadinya antara yang pertama maut dalam serangan kelmarin.
Charlie Hebdo terkenal kerana imej yang sarat dengan kontroversi dan sering mempersendakan pelbagai agama. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:03 AM

No comments:

Post a Comment