Perdana Menteri berkata, akibat terkena jangkitan kuman bawaan air yang kerap dikesan terutama ketika musim banjir itu, beliau ‘tersandar’ selama beberapa hari di rumah dan tidak boleh keluar ke mana-mana termasuk melakukan lawatan lebih awal ke daerah ini.
‘‘Saya sepatutnya datang ke Pekan dan membuat lawatan lebih awal tetapi saya juga tergolong sebagai ‘mangsa banjir’. Walaupun tidak layak menerima bantuan banjir tetapi saya boleh dikira sebagai ‘mangsa’ sebab terkena E.coli baru baru ini. Saya tersandar di rumah beberapa hari, tidak boleh keluar.
‘‘Memang itu bukan satu pengalaman yang saya hendak ulang balik. Kalau tidak percaya boleh tanya isteri saya,’’ katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian bantuan persekolahan daripada Yayasan Pahang kepada kira-kira 260 murid yang terlibat dengan banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Paloh Hinai di sini hari ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri disahkan dijangkiti E.coli selepas melawat negeri-negeri yang dilanda bencana tersebut.
Menurut Najib, jangkitan kuman itu merupakan risiko yang perlu beliau lalui ketika melawat mangsa banjir untuk menyelami kesengsaraan dan menyatakan simpati kepada mereka.
‘‘Bukan sahaja setakat bersalaman tetapi apa dia makan dan minum saya kena makan dan minum,’’ ujar beliau.
Walau bagaimanapun Najib berkata, situasi yang berlaku ke atasnya wajar dijadikan sebagai satu ingatan supaya menjaga kesihatan dan kebersihan semasa berdepan musibah banjir.
Katanya, kuman itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja jika tidak menitikberatkan kebersihan minuman dan penyediaan makanan.
‘‘Kalau boleh kena dekat saya, orang lain pun boleh terkena,’’ katanya.