MOSCOW - RUSIA . Timbalan Menteri Pertahanan Rusia mengumumkan pengeluaran dron tentera dan sistem peluru berpandu S-500, sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan ketenteraan di negara itu.

Yury Borisov berkata, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sistem pertahanan peluru berpandu serba canggih itu dijangka keluar dua tahun lagi.

"UAV berat yang dibangunkan dengan kerjasama Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) akan melaksanakan pelbagai tugas taktikal, operasi dan strategik," katanya.

Sekurang-kurangnya empat projek pertahanan kini berada di peringkat akhir pembangunan dan dijangka keluar dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf.

Tidak seperti sistem sebelumnya S-400, S-500 direka untuk mengunci dan memintas beberapa peluru berpandu balistik dalam saat selain berupaya dikendalikan pada ketinggian sehingga 210 kilometer. - RT