Thursday, March 26, 2015

AS perlahankan pengunduran tentera dari Afghanistan



SEBILANGAN kadet pegawai tentera Afghanistan menghadiri upacara pentauliahan mereka di Akademi Tentera Kebangsaan di Kabul pada 18 Mac lalu.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin meluluskan permintaan Afghanistan untuk memperlahankan pengunduran tentera AS dari negara itu.
Obama berkata, beliau akan mengekalkan tentera AS di Afghanistan seramai 9,800 orang sepanjang tahun ini tetapi kekal komited untuk berundur sepenuhnya dari negara berkenaan menjelang 2017.
Semasa memberi layanan istimewa kepada Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani di White House di sini Obama berkata, kekuatan tentera AS sedia ada akan dikekalkan bagi melatih dan membantu askar Afghanistan.
Tentera Afghanistan mula mengambil alih tugas memerangi kumpulan Taliban dan militan Islam lain pada awal tahun ini.
Menurut Obama, kadar pengunduran askar AS pada 2016 akan ditentukan lewat tahun ini. Washington mahu mengumpulkan saki-baki tenteranya di Kedutaan AS di Kabul pada hujung 2016.
Di bawah pelan sebelum ini, tentera AS perlu dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada hampir 10,000 orang menjelang hujung 2015 tetapi beberapa pegawai berkata, hubungan baik dengan Afghanistan membolehkan rancangan itu disemak semula.
“Saya melakukan penilaian sebagai ketua komander tentera AS bahawa adalah munasabah untuk kami melanjutkan tempoh pengunduran askar selama beberapa bulan lagi bagi memberi bantuan dalam beberapa perkara seperti logistik,” kata Obama pada satu sidang akhbar bersama dengan Ghani di White House. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3VJuz6OjQ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment