Rang undang-undang yang dibentangkan ke Parlimen oleh Presiden, Petro Poroshenko dan mula dibahas, hari ini me­rupakan sebahagian daripada komitmen Kiev dalam mewujudkan keamanan dengan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia mengancam akan meneruskan pertempuran sekiranya Kiev tidak menjadikan kawasan di timur negara ini sebagai kerajaan autonomi, sama seperti perjanjian yang dipersetujui di Minsk, Belarus pada 12 Februari lalu.
Bagaimanapun, rang undang-undang berkenaan jika diluluskan hanya akan berkuat kuasa selepas dua kawasan terbabit iaitu Donetsk dan Luhansk menjalankan proses pilihan raya mengikut undang-undang Ukraine serta dikawal sepenuhnya oleh pemerhati antarabangsa.
Undang-undang baharu itu turut memperuntukkan, kesemua kumpulan bersenjata perlu melucutkan senjata atau tidak dibenarkan kembali ke Ukraine, selain perlu membenarkan wartawan untuk memasuki rantau berkenaan.
Berdasarkan perjanjian genjatan senjata yang berkuatkuasa pada 15 Februari lalu, Ukraine mempunyai masa selama sebulan untuk membuat persempadanan kawasan dan perlu memulakan perbincang­an bagi melaksanakan pilihan raya tempatan.
Dalam perkembangan lain, jurucakap pasukan kesela­matan, Andriy Lysenko berkata, dalam tempoh masa 24 jam lalu, seorang tentera terbunuh selepas bertempur dengan kumpulan pemberontak.
“Pemantau dari Pertubuh­an Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) mendapati, serangan mortar dan kejadian tembak-menembak terus berlaku di sekitar Lapangan Terbang Donetsk.
Serangan itu memberi kesan kepada kawasan pe­nempatan berhampiran iaitu Kampung Pisky,” jelas Lysenko. – AFP