Sunday, March 29, 2015

Timbalan MB Kelantan Gesa Ahli PAS Patuh Dasar Parti


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 9:41 PM

KLANG: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa anggota dan pemimpin parti mematuhi arahan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan segala keputusan dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

Ketika membuat saranan itu, beliau berkata anggota parti perlu bertindak mengikut dasar parti dan segala perbezaan pendapat perlu diurus dengan baik.

"Meskipun kita menghormati rakan pakatan pembangkang, tetapi ahli PAS harus bertindak berlandaskan dasar parti.

"Autoriti presiden menentukan keputusan dan hala tuju PAS," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-30 PAS Kawasan Klang di Pandamaran di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan menarik perhatian bahawa Kelantan berazam untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu dan oleh yang demikian, anggota PAS tidak sepatutnya menyokong cadangan untuk menangguh atau menolak pelaksanaan hudud.

Abdul Hadi sebelum ini mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Klang, Mohd Prasad Hanif berkata mesyuarat agung kawasan Klang pada hari ini sebulat suara menyokong kepimpinan ulama menerajui parti dengan mencalonkan Abdul Hadi bagi mempertahankan jawatan  presiden parti untuk pemilihan parti Jun ini.

Beliau berkata perwakilan yakin kepimpinan ulama wajar diketuai Abdul Hadi yang membawa kemenangan besar kepada PAS sejak menjadi presiden.

Mohd Prasad turut menyelar tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berhubung isu hudud yang dilihat bertentangan dengan amalan demokrasi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, PAS Kawasan Klang mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohd Amar, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dan Anggota Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan masing-masing dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

No comments:

Post a Comment