Friday, April 3, 2015

Dr Wan Azizah Bimbang Masa Depan Pakatan


Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2015 5:38 PM

PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan kebimbangan berhubung pergeseran yang berlaku di kalangan komponen pakatan pembangkang kebelakangan ini.

Menurutnya, krisis yang menyebabkan perpecahan khususnya di Sabah dan Sarawak perlu diselesaikan menerusi rundingan secepat mungkin.

"Saya khuatir dengan beberapa perkembangan mutakhir mengenai Pakatan Rakyat termasuklah keputusan parti DAP dan PKR di Sabah dan Sarawak berhubung kerjasama dengan PAS.

"Sementara saya menghormati kedudukan DAP dan PKR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai autonomi, saya berharap agar keputusan itu juga dapat dibincangkan dengan lebih teliti di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat," katanya menerusi kenyataan di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi mencari jalan penyelesaian yang timbul di kalangan pakatan itu.

"Oleh yang demikian saya menyeru rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk kembali ke meja mesyuarat dengan meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan teratas.

"Ini bukanlah bermakna kita tidak mengambil peduli pergeseran sesama kita, tetapi sekiranya perselisihan itu dibincangkan dengan berpaksikan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan, saya yakin ia boleh diselesaikan dengan baik," katanya.

Kebimbangan yang dibangkitkan Dr Wan Azizah disuarakan ketika pakatan pembangkang kehilangan pemimpin utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.

Hubungan komponen pakatan pembangkng mula retak apabila PAS memulakan langkah untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

No comments:

Post a Comment