KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera dalam satu letupan di bandar Jalalabad, timur Afghanistan, semalam.

Ketua Polis Nangarhar, Fazel Ahmad Sherzad berkata, insiden itu berlaku di luar sebuah bank, ketika penjawat awam beratur untuk mengeluarkan gaji mereka.

Menurutnya, letupan berlaku selepas seorang penyerang bermotosikal menghampiri bank  berkenaan.

"Ia adalah serangan berani mati dan polis sedang menyiasat jika ada letupan kedua, selepas orang ramai bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa," katanya.

Kumpulan Taliban menafikan bertanggungjawab melakukan serangan itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Difahamkan, serangan itu berlaku sehari selepas sebuah pos kawalan di wilayah Badakhshan diserang Taliban.

Serangan  mengorbankan 18 tentera Afghanistan. - Reuters