Friday, April 10, 2015

Najib jawab kritikan Tun Mahathir

Najib ketika ditemu bual oleh Hamdan dalam rancangan Soal Jawab TV3 Edisi Khas malam tadi.


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau terbuka kepada sebarang kritikan daripada mana-mana pihak terhadap kepimpinannya.
Namun, katanya, kritikan itu seharusnya dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.
“Itu saya nak tegaskan,” kata beliau semasa diwawancara dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam tadi.
Najib ditanya oleh hos Hamdan Ahmir mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kepimpinannya baru-baru ini.
Najib berkata, beliau tetap menghormati Dr. Mahathir seperti mana beliau menghormati rakyat Malaysia yang lain.
Menjawab mengenai isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Najib berkata, 1MDB memerlukan masa untuk membangun atau mencairkan asetnya bagi membayar hutang.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat itu perlu meminjam wang bagi tujuan pengembangan, memandangkan 1MDB mempunyai modal permulaan hanya RM1 juta.
Beliau berkata, 1MDB bermula dengan modal RM1 juta sahaja, berbeza dengan Permodalan Nasional Bhd. dan Khazanah Nasional Bhd., yang telah diberi pelbagai suntikan modal.
Ketika ditanya mengenai pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman, Najib menegaskan bahawa wang tersebut tidak dipindahkan ke sana kerana akaun tersebut hanya untuk pendaftaran.
Beliau berkata, kepulauan itu merupakan satu ‘syurga cukai’ di mana terdapat 200 syarikat Malaysia yang mempunyai akaun Cayman.
Bagaimanapun, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur bagi sebarang salah laku dalam pengurusan kewangan 1MDB mahupun mempertahankan mana-mana individu.
Malah, beliau menyerahkan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiasat tuduhan dana 1MDB digunakan untuk menghasilkan filem.
Najib dalam wawancara tersebut turut menjawab mengenai isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan dilaksanakan tidak tepat pada masanya iaitu sewaktu kejatuhan harga minyak dunia.
Katanya, tiada masa yang benar-benar sesuai untuk melaksanakan GST, namun kejatuhan harga minyak dunia menjadi antara faktor yang menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkannya.
“Bila harga minyak jatuh, bermakna harga petrol dan diesel juga jatuh, yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai kes Altantuya Shaariibuu yang turut dibangkitkan Dr. Mahathir, kata Najib, beliau sudah pun melafazkan sumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 2008.
“Ini cerita 2008...dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi sebanyak tiga kali bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3WrPcS1Io 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment