KIEV - UKRAINE. Sekurang-kurangnya seorang maut manakala lima lagi cedera akibat serangan tentera kerajaan di bandar pelabuhan Mariupol, menurut Kementerian Pertahanan Republik Rakyat Donetsk (DPR), semalam.
Menurut laporan Press TV, Jurucakap kementerian itu memaklumkan bedilan bertalu-talu itu menyasarkan kawasan Shirokino terletak kira-kira 20 kilometer di barat Mariupol.

"Tindakan tentera Ukraine menggunakan senjata berat dalam tempoh 24 jam lalu jelas menunjukkan mereka telah mencabuli gencatan senjata. Beberapa lokasi lain termasuk lapangan terbang Donetsk turut menjadi sasaran serangan mereka," jelasnya lagi.

Difahamkan, insiden serangan terbaharu itu berlaku kira-kira enam hari selepas enam tentera kerajaan terkorban manakala 12 lagi cedera ketika bertempur dengan pasukan pro-Rusia di timur Ukraine.

Kelmarin, Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) memberitahu Misi Pemantau Khas (SMM) ke Ukraine melaporkan insiden keganasan meningkat di negara itu sejak beberapa hari lalu. - Press TV