Kuasa besar Asia itu dan Amerika Syarikat (AS) telah terlibat dalam konflik di kawasan berkenaan dengan Washington memberi amaran agar Beijing tidak mencabar tentera laut negaranya yang beroperasi di Laut China Selatan.
Di Kepulauan Spratly, AS mendakwa China mewujudkan sebuah pulau berkeluasan 800 hektar sejak tahun lalu yang boleh digunakan sebagai landasan kapal terbang.
AS menegaskan, pulau buatan manusia tidak boleh digunakan dalam menuntut kedaulatan dan mereka secara rapat mengikuti sebarang isyarat bahawa China akan mencari sokongan dengan meletakkan sistem peluru berpandu dan jet pejuang di pulau buatan baharu mereka itu.
Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Yang Yujun dilihat cuba untuk tidak membangkitkan isu kehadiran tentera di pulau buatannya, dengan mendakwa isu itu diperbesarkan oleh pihak yang mencari alasan untuk mengenakan tindakan yang tidak dapat dipastikan, merujuk kepada Amerika.
“Setiap hari di seluruh China, terdapat pelbagai jenis projek pembinaan dimulakan seperti membina rumah, jalan raya, jambatan, membuka kilang, dan sebagainya.
“Melihat dari sudut kedaulatan, pembinaan pulau-pulau buatan itu sama sekali tidak berbeza dengan semua jenis pembinaan yang berlaku di China,’’ katanya sebagaimana lapor Mail Online.
Pembinaan-pembinaan itu kata Yang dibuat bagi memenuhi keperluan awam dan tentera seperti pencegahan bencana, perlindungan perikanan, dan pemantauan cuaca.
Dalam perkembangan berasingan, Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter semalam memberitahu rakan sejawatnya dari Filipina, Voltaire Gazmin, bahawa Washington akan mempertahankan negara itu dan meminta supaya tindakan menambak tanah di perairan Laut China Selatan dihentikan. – AGENSI/AFP