Saturday, May 9, 2015

Dr Hasrul Sani Muat Naik Gambar Di FB Sebelum Nahas


Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 11:58 PM

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang cedera dalam nahas helikopter di kawasan Lembah Naltar, Pakistan awal pagi Jumaat, sempat memuat naik sekeping gambar ke akaun Facebook beliau, dipercayai sebelum tragedi itu berlaku.

Gambar itu, yang dimuat naik di akaun Facebook menggunakan nama Hasrul Sani Mujtabar, menunjukkan Dr Hasrul Sani dan isterinya Datin Habibah Mahmud dan anggota delegasi lain berada di dalam sebuah helikopter.

Gambar itu dimuat naik berserta kapsyen "All set to fly off to Gilgit.Only for the brave hearts...hehehe" (Semua bersedia untuk berlepas ke Gilgit.
Hanya untuk mereka yang berani... hehehe)


Dalam nahas itu, Habibah dan lima orang lagi iaitu Duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina serta isteri Duta Besar Indonesia terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar.


Kementerian Luar Negeri mengesahkan Dr Hasrul Sani cedera dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Gilgit.

"Helikopter itu membawa diplomat asing dan isteri masing-masing. Mereka dalam rangka program rasmi kerajaan Pakistan," kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sementara itu, dalam temu bual Dr Hasrul Sani dan Habibah bersama seorang wartawan Pakistan, Omar Khalid Butt, tahun lepas, pesuruhjaya tinggi itu  berkata beliau jatuh cinta pandang pertama dengan Habibah ketika bertemu di sebuah pusat penyelidikan semasa melaksanakan tugasan universiti.

"Kami bertemu di sebuah pusat penyelidikan flora dan fauna ketika lawatan belajar semasa menuntut di universiti.

"Ketika itu, kami belajar tentang flora dan fauna Malaysia. Di situlah saya bertemu Habibah, ya, cinta pandang pertama. Walaupun kami dari dua negeri berbeza tetapi belajar di universiti sama," katanya.


Selain itu, Dr Hasrul Sani dan Habibah memberitahu Butt bahawa mereka mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Kedua-dua anak perempuan telah bekerja manakala anak lelaki bongsu mereka masih belajar di universiti di Malaysia.

Rakaman video berdurasi 45 minit dan 48 saat itu itu dimuat naik oleh Butt pada 27 Mei tahun lepas di akaun Twitter miliknya @meezoolibra1510.

No comments:

Post a Comment