Saturday, May 16, 2015

Ibu bapa kongsi detik besarkan anak


Aksi seorang kanak-kanak lelaki membuat sepah dengan mengeluarkan tisu dikongsikan oleh ibu bapanya menerusi laman Instagram, Average Parent Problems. AGENSI

SAN FRANCISCO 15 Mei – Tugas sebagai ibu bapa untuk menjaga anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi jika berdepan dengan pelbagai kerenah dan kenakalan anak masing-masing.
Namun atas usaha seorang ibu yang juga blogger, Ilana Wiles, sebuah akaun laman perkongsian foto dan video, Instagram yang menggunakan nama Average Parent Problems, diwujudkan bagi memberi peluang kepada ibu bapa berkongsi detik-detik lucu dan memalukan mereka ketika menjaga anak.
Menurut Wiles seperti yang dilaporkan portal The Huffington Post, akaun terbabit diwujudkan bagi berkongsi kisah-kisah menarik dan lucu yang dihadapi oleh ibu bapa dan anak pada setiap hari sebagai cara mengurangkan tekanan.
Jelas wanita tersebut, kebiasaannya Instagram dipenuhi dengan foto kanak-kanak yang memakai baju cantik di tempat menarik, tetapi melalui akaun Average Parent Problem, kisah yang berbeza dikongsi kepada umum.
“Melalui akaun ini, anda boleh melihat ibu bapa yang mengalami kesukaran untuk menjaga anak masing-masing disebabkan kerenah nakal golongan kecil tersebut.
“Saya berharap ibu bapa berasa lebih gembira dan melupakan tekanan apabila melihat foto yang dikongsi dan saya sering menjadikan kepayahan membesarkan anak sebagai satu hiburan,” katanya.
Akaun Instagram tersebut kini mempunyai hampir 30,000 pengikut di seluruh dunia sejak mula diwujudkan sebulan lalu.
Antara gambar yang dikongsi termasuk seluruh bilik anak bersepah dengan mainan, anak kecil mengeluarkan semua tisu, dan aksi lucu kanak-kanak berbaring di tempat awam kerana merajuk.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-bapa-kongsi-detik-besarkan-anak-1.92188#sthash.bmVccgUM.dpuf

No comments:

Post a Comment