Wednesday, May 6, 2015

Kak Wan Optimis Sejarah Berulang

Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 2:30 PM


MESRA dengan panggilan Kak Wan, figura ini cukup terkenal di kalangan pengundi di Pematang Pauh.
Tidak kira tua atau muda, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini kembali menawarkan diri untuk berkihidmat di kawasan Permatang Pauh dilihat begitu serasi dan mesra ketika turun berkempen menemui penduduk tempatan.
Bagaimanapun dalam keceriannya, Dr Wan Azizah optimis untuk menyambung khidmat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh khususnya dalam membela nasib rakyat selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ikuti temubual ringkas mStar Online bersama Dr Wan Azizah yang kelihatan yakin untuk mempertahankan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh sejak 17 tahun lalu.
mStar Online: Bagaimana mood kempen dalam tempoh berbaki kurang 48 jam ini?
Dr Wan Azizah: Alhamdulillah kempen kita mendapat sambutan baik di kalangan rakyat. Pengundi memahami mengapa Kak Wan kembali bertanding dan petugas-petugas kita bersemangat untuk mengekalkan kerusi Permatang Pauh.
mStar Online: Apa kerisauan yang timbul setakat ini?
Dr Wan Azizah: Provokasi BN menerusi media arus perdana adalah perkara biasa yang harus kita lalui. Kita bersyukur kerana sejak awal lagi usaha-usaha provokasi, termasuk usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat tidak berhasil. Kita mendapat kerjasama PAS dan DAP. Rakyat Permatang Pauh sudah matang dan tidak termakan dengan provokasi. Kita berada dalam 'good spirit'. InsyaAllah.
mStar Online: Apa masalah atau rungutan yang paling banyak diterima sewaktu kempen?
Dr Wan Azizah: Sepanjang kempen, Kak Wan banyak bertemu dengan kaum wanita yang kebanyakannya suri rumah, juga golongan pekerja.Mereka banyak rungutan mengenai masalah kehidupan, kenaikan harga barang keperluan, terutama sekali mereka tidak selesa dengan  GST.
mStar Online: Bagaimana penerimaan pengundi untuk Datuk Seri kembali berkhidmat di Permatang Pauh?
Dr Wan Azizah: Alhamdulillah rakyat menerima Kak Wan kembali bertugas. Mereka masih ingat jasa Anwar Ibrahim dan simpati dengan nasib beliau yang dipenjarakan. Kadang kala terpaksa memanjang tempoh kempen di sesuatu tempat kerana ramai yang mahu berjumpa, bertanya khabar dan bergambar dengan Kak Wan.
mStar Online: Seruan Datuk Seri kepada pengundi luar serta pengundi dalam kawasan?
Dr Wan Azizah: Kak Wan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang duduk di luar kawasan. Menerusi SMS, mereka memberi maklum balas yang positif, bahawa mereka mengatakan bahawa mereka akan pulang mengundi. Setiap undi adalah penting dan kita dihargai.
mStar Online: Apa harapan Datuk Seri dalam PRK kali ini? Peluang untuk menang?
Dr Wan Azizah: InsyaAllah, dengan sokongan PAS dan DAP di Pulau Pinang, kita akan kekalkan kemenangan. InsyaAllah kita akan membawa amanah rakyat dan memperjuangkan isu GST di Parlimen.
mStar Online: Apa kelebihan Datuk Seri sebagai calon PKR dan Pakatan berbanding calon BN?
Dr Wan Azizah: Kak Wan sudah biasa dengan penduduk Permatang Pauh dan sekitar Bukit Mertajam sejak sebelum Anwar menjadi wakil rakyat pada 1982 lagi, tambahan pula kerajaan Pulau Pinang, dikuasai Pakatan Rakyat. Oleh itu, InsyaAllah berbekalkan pengalaman yang ada serta kerjasama erat dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kita yakin dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat di Permatang Pauh. Pengundi Permatang Pauh pada penggal-penggal yang lepas telah memilih saya tatkala saya bertanding. InsyaAllah, sejarah akan berulang.

No comments:

Post a Comment