OTTAWA - KANADA. Ahli Parlimen Kanada, kelmarin, meluluskan undang-undang kontroversi yang memberi kuasa secara meluas kepada agensi risikan negara tersebut.

Rang undang-undang C-51 tersebut membolehkan perkhidmatan perisikan negara terbabit beroperasi di luar negara.

Menurut laporan Press TV, kandungan rang undang-undang yang disokong Perdana Menteri, Stephen Harper dan turut mendapat undian majoriti Dewan Rakyat itu pertama kali diumumkan pada Januari lalu.
Ia disifatkan sebagai undang-undang kontroversi kerana ia boleh menyebabkan mana-mana individu ditahan tanpa sebarang dakwaan dan memberi kuasa lebih besar kepada Perkhidmatan Risikan Keselamatan Kanada (CSIS).

Di bawah undang-undang itu, CSIS diberi kuasa untuk mengumpulkan maklumat dan melakukan pengintipan di luar negara.

Ia turut menerima kritikan banyak pihak kerana dianggap sebagai satu perlanggaran hak asasi manusia kerana tidak mempunyai fokus sebenar dan tiada pengawasan pihak sepatutnya.

Difahamkan, rang undang-undang itu dibentangkan susulan insiden serangan bersenjata yang dilancarkan oleh Michael Zehaf-Bibeau ke atas Tugu Peringatan Kebangsaan dan bangunan Parlimen di Ottawa yang turut meragut nyawa seorang tentera pada 22 Oktober lalu.