KUALA LUMPUR- Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menggesa semua agensi yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara turut membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau mendakwa, jika terdapat sebarang unsur penyelewengan jenayah dalam 1MDB, ia akan turut mensabitkan Najib kerana Artikel 117 jelas menunjukkan keterlibatan secara langsung Perdana Menteri dalam keputusan-keputusan syarikat pelaburan tersebut.
 
“Saya merujuk kepada pendedahan oleh pihak media semalam (kelmarin), mengenai Memorandum Pertubuhan (Memorandum and Article of Association atau M&A) yang mempunyai Artikel 117 mengaitkan Najib dengan semua keputusan pelaburan serta hutang yang dibuat oleh 1MDB selama ini.
 
“Saya telah mendapat salinan penuh memorandum tersebut dan menyemak untuk mengesahkan ia adalah M&A 1MDB seperti berikut:
 
"Pertama, semakan dengan rekod terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) mempunyai nombor syarikat yang sama, iaitu 848230-V,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
 
Katanya, rekod terkini SSM juga menunjukkan bahawa TIA telah menukar namanya kepada 1MDB pada 25 September 2009.
 
Rafizi turut mendakwa pindaan kepada M&A telah difailkan kepada pendaftar syarikat melalui satu resolusi bertarikh 2 September 2009.
 
“Ini bermakna keseluruhan M&A ini besar kemungkinan difailkan untuk memenuhi proses mengambil alih dan menukar nama TIA kepada 1MDB seperti yang ditunjukkan oleh rekod terkini SSM,” katanya.
 
Menurutnya, melalui Artikel 117 bertajuk Reserved Matters dalam M&A menetapkan bahawa semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan 1MDB serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan diambil oleh 1MDB yang boleh mempunyai kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan perlu mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.
 
“Ini bermakna, kemungkinan besar Najib tahu mengenai urusniaga 1MDB yang mengandungi kontroversi setakat ini kerana beliau diperlukan. Bon pertama yang diterbitkan oleh syarikat itu dalam tahun 2009 telah dijamin Kerajaan Persekutuan.
 
“Maka, setiap urusnaiga penerbitan hutang selepas itu ada kesan kepada jaminan yang diberikan Kerajaan Persekutuan itu dan tidak boleh dilaksanakan oleh 1MDB tanpa kelulusan bertulis Najib,” katanya.
 
Beliau berpendapat Najib perlu hadir sendiri ke Parlimen untuk menerangkan perkara itu.
 
“Beliau juga perlu hadir untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menjelaskan sama ada kelulusan bertulis beliau telah diberikan bagi semua urus niaga dan pelaburan 1MDB selepas jaminan Kerajaan Persekutuan bagi bon pertama 1MDB,” katanya.