Sunday, May 17, 2015

Rafizi kesal mikrofon dirampas di UIAM

Rafizi kesal mikrofon dirampas di UIAM



Video insiden rampasan mikrofon yang menjadi viral. - Sumber Youtube



SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melahirkan kekesalan atas insiden mikrofon dirampas oleh pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ketika beliau sedang berucap semalam.

Menurut Rafizi, beliau dijemput ke forum GST bertajuk ‘Antara Pertumbuhan Ekonomi dan Keadilan Sosial’ yang diadakan di auditorium utama UIAM.

“Saya telah dijemput oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM untuk menyertai satu forum mengenai GST. Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa pihak UIA telahpun meluluskan penganjuran forum ini kerana ia melibatkan wakil dari Umno (Lokman Adam) dan wakil dari Jabatan Kastam dan Eksais.

“Saya juga dimaklumkan oleh MPP bahawa Rektor UIA, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin telah meletakkan garis panduan bahawa MPP boleh menjemput ahli politik berdiskusi dalam majlis ilmu di UIA dengan syarat ahli politik itu mempunyai kelayakan dalam bidang yang dibincangkan.

“Saya hanya mendapat tahu semalam bahawa pada saat akhir, Rektor UIA telah mengarahkan supaya program itu dibatalkan. Menjelang jam 8 malam, telah timbul kekeliruan apabila saya dimaklumkan bahawa pihak UIA bersetuju agar program itu diteruskan apatah lagi kerana wakil Umno, Lokman Adam pun mahu hadir juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, tindakan unit keselamatan UIAM itu dirakam peserta yang hadir forum tersebut dan tersebar di media sosial hingga menjadi viral.

[ ARTIKEL BERKAITAN: PKR kecam tindakan UIAM batal forum GST ] 

Dalam kenyataan sama, Rafizi memberitahu pihak pengurusan mengumumkan pada saat akhir hanya membenarkan bekas Exco Pemuda Umno, Lokman Noor Adam sahaja berucap.

“Ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan siswa yang hadir. Lokman Adam kemudiannya menyatakan dia akan berhenti bercakap dan mahu program dihentikan.

“Pada ketika itu saya menyatakan kepada pimpinan MPP dan siswa yang hadir bahawa tidaklah adil jika saya langsung tidak dibenarkan berucap sedangkan Lokman Adam telah pun berucap selama 15 minit.

“Pada ketika itulah pimpinan MPP berunding dengan pegawai Keselamatan UIA yang ada di situ dan menyatakan bahawa majlis akan berakhir setelah saya berucap selama 15 minit.

“Saya dijemput berucap dan pada minit kelapan (seperti di dalam video yang dilampirkan bersama), seorang yang tidak dikenali datang menghampiri saya daripada sebelah kanan.

“Dalam beberapa saat itu tanpa memaklumkan apa-apa kepada saya, orang itu merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana tegang,” katanya lagi.

Tambah Rafizi lagi, beliau turut memaklumkan kepada individu berkenaan bahawa tindakan yang diambil tidak sopan dan tidak menghormati majlis ilmu.

No comments:

Post a Comment