Friday, June 19, 2015

Kabinet Setuju TNB Ambil Alih Ekuiti 1MDB Dalam Projek 3B


Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2015 8:54 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili mengesahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengambil alih 70 peratus ekuiti milik syarikat pelaburan kerajaan 1MDB di dalam loji janakuasa arang batu yang dikenali sebagai Projek 3B.
Ongkili ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015 berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akhir Mei lepas.
"Untuk makluman 70 peratus ekuiti ini telah diambil alih oleh Syarikat Edra Global Energy Berhad (Edra) pada September 2014 bagi tujuan penyenaraian syarikat tersebut di papan utama Bursa Malaysia.
"Namun, pada 23 Februari 2015, Edra telah memaklumkan penarikan diri daripada projek ini. Oleh yang demikian 70 peratus ekuiti ini telah diambil alih oleh 1MDB," katanya.
Menurut Ongkili, projek itu diambil alih oleh TNB dengan kelewatan tarikh operasi komersil selama enam bulan.
Sementara itu, Ongkili semasa ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat berkata permintaan pengambilalihan kepentingan itu dibuat oleh Edra yang merupakan syarikat pelaburan tenaga 1MDB.
"Kami mempertimbangkan semua faktor. Kami boleh pergi kepada bidaan terbuka tetapi disebabkan projek sudah terlewat kerajaan bersetuju memberi keutamaan kepada TNB.
"Kami yakin mereka boleh melakukannya pada kadar tarif yang boleh diterima dan mereka boleh lakukannya dengan cepat," katanya.
Mengenai kemungkinan ada perubahan pada kadar tarif berikutan pengambilalihan tersebut, Ongkili berkata, TNB memohon kajian semula yang kecil ke atas kadar, atas pertimbangan bahawa projek sudah terlewat dan perubahan kadar tukaran asing.
Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa kadar tersebut belum diputuskan oleh kerajaan dan TNB.
Dalam isu lain, Ongkili ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015 itu turut berkata, sebanyak 11,649 megawatt (MW) projek penjanaan baru telah dianugerahkan untuk mula beroperasi bagi tempoh 2015 hingga 2024 yang melibatkan kos lebih RM42 bilion.
Beliau berkata, ia bagi memenuhi pertumbuhan permintaan puncak pada masa depan yang diunjurkan pada purata 2.7 peratus setahun sehingga 2024.
"Sebanyak 5,846MW atau 50 peratus daripadanya adalah kapasiti berasaskan gas, diikuti 5,010MW atau 43 peratus kapasiti berasaskan arang batu dan 793MW atau tujuh peratus berasaskan hidroelektrik," katanya.
Menurutnya, pada masa ini, kapasiti penjanaan terpasang di dalam sistem di Semenanjung Malaysia adalah 21,954MW berbanding 20,944MW pada akhir 2014 selepas loji janakuasa arang batu Janamanjung 4 mula beroperasi April lepas.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan rang undang-undang berkenaan. -- Bernama

No comments:

Post a Comment