JOHOR BAHRU - Penasihat DAP, Lim Kit Siang membayangkan tiada lagi PR dalam tempoh dua minggu lagi.
 
Menurutnya, dengan situasi semasa melibatkan parti dalam PR, yang tinggal hanya untuk melihat pakatan berkenaan dikuburkan.
 
“Hari ini, dalam Muktamar Pas ke-61 meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan hingga kini dalam PR, tiada sebarang perbahasan.
 
“Dengan gerakan dalam Muktamar Pas, politik Malaysia sudah memasuki keadaan yang keruh dengan kesan serta merta.
 
“Di Pulau Pinang, keputusan Muktamar Pas akan menyebabkan perkara mustahil untuk wakil Pas meneruskan gerak kerja di pelbagai peringkat dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya seperti dipetik dalam blog limkitsiang.com.
 
Kit Siang berkata, di Selangor, senario teruk bakal juga berlaku iaitu Pilihan Raya Negeri Selangor.
 
“Amat sukar untuk bercakap bagaimana perkembangan politik akan membangun pada masa akan datang, tetapi sama ada, ada PR atau tidak, rakyat Malaysia perlu tetap, konsisten kepada matlamat keadilan, kebebasan dan maruah bangsa yang mereka aspirasi dan pilih pada PRU-13.
 
“Itu sebab saya bertanding bagi kerusi Parlimen Gelang Patah untuk merealisasikan Impian Malaysia di mana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah bersatu untuk membina Malaysia sebagai negara yang hebat menerusi politik, sosio ekonomi, pendidikan dan pembaharuan negara,” katanya.
 
Beliau berkata, pertarungannya di Gelang Patah semasa PRU-13 bukan sekadar untuk satu kerusi Parlimen, tetapi untuk mengajak masyarakat di Gelang Patah bersama dalam tsunami politik di Johor dan Malaysia sekali gus membawa perubahan politik di negara ini.
 
“Kini Najib (Perdana Menteri) berjaya melihat kemusnahan PR. Bagaimanapun, sama ada, ada PR atau tidak, Impian Malaysia perlu diteruskan.
 
“Untuk memastikan Impian Malaysia, binalah masa depan kepada generasi akan datang,” katanya.