MOHAMAD SABU
Demikian dinyatakan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sekali gus menegaskan bahawa pakatan pembangkang ketika ini sudah tidak lagi mempunyai kerjasama yang baik dalam gabungan itu.
“Pakatan dah berpecah sekarang, sama ada ia mati kah, ia sedang berpecah. Kalau nak tanya panjang mengenai pakatan masih wujud, itu kena minta beliau (Abdul Hadi) untuk beri penjelasan.
“Hakikatnya, pakatan sedang berpecah,” katanya ketika ditemui dalam program solat tarawih dan tazkirah ‘Salam Perjuangan Baharu Bermula’ di Seksyen 18 di sini, malam tadi.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang menegaskan bahawa pakatan pembangkang masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya, DAP sudah mengisytiharkan pakatan pembangkang tidak lagi wujud.
Menurut Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, DAP tidak berhak mengumumkan pakatan pembangkang dibubarkan selain beliau dengan sinis menyatakan parti itu tidak memahami maksud ‘pakatan rakyat’ sehingga terburu-buru bertindak sedemikian.
Malah, Abdul Hadi turut menyatakan pihaknya ketika ini masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP membubarkan pakatan pembangkang termasuklah kenyataan daripada PKR.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai desas-desus bahawa wujud pihak tertentu termasuk beliau sendiri akan menubuhkan parti baharu bagi menggantikan Pas, Mohamad mengakui ada mendengar pandangan daripada pelbagai pihak mengenai usaha tersebut.
“Saya dengar banyak pihak nak tubuh parti (baharu). Namun saya sedang lihat dan teliti selain akan bertemu dengan rakan-rakan untuk mengambil sikap bersama pada masa hadapan.
“Namun, untuk mengatakan menubuhkan parti lain dan mewujudkan pakatan baharu, terserah kepada parti-parti yang sedia ada (PKR dan DAP) untuk terima atau tidak,” jelasnya.